Oleh Wan Azrain
Nampaknya rakyat Sabah terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk penyelesaian dan pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 atau Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Setakat ini, beberapa perkara di bawah MA63 telah pun dipersetujui dan dilaksanakan. Namun begitu, perkara utama mengenai pembayaran Geran Khas Tahunan 40% masih belum dimuktamadkan. Akibat kelewatan persetujuan ini, agenda pembangunan Sabah terus terencat.
Pada pertengahan bulan September 2026 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026, yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah: pemerkasaan keselamatan sempadan Sabah dan Sarawak; pertambahan perjawatan dan pelaksanaan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak, kajian Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan; serta cadangan pertambahan kerusi Ahli Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak.
Sejurus mesyuarat tersebut, Perdana Menteri Malaysia berkata pelaksanaan MA63 sewajarnya diterjemahkan kepada naratif dan dasar nasional Kerajaan MADANI bagi pembangunan, kestabilan dan keutuhan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah pula dilaporkan berkata, semasa mesyuarat tersebut, Kerajaan Sabah telah memohon kepada Kerajaan Malaysia agar tuntutan pembayaran Geran Khas Tahunan 40% dapat diselesaikan segera.
Untuk itu, Perdana Menteri menyatakan Sabah akan menerima RM 1.5 bilion sebagai pembayaran berkenaan, pada penghujung bulan Oktober 2026 atau awal bulan November 2026.
Sebenarnya, ini bukanlah pengumuman baru. Pada bulan Mei 2026, Perdana Menteri telah pun mengumumkan Sabah akan menerima RM 1.5 bilion sebagai Geran Khas Tahun interim sementara perkara ini dapat dimuktamadkan.
Mendukacitakan, ini bermakna tiada persetujuaan baru dicapai di dalam mesyuarat tersebut.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional Sabah dilaporkan berkata pembayaran RM 1.5 bilion berkenaan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad. Rundingan mesti diteruskan sehingga formula baharu dapat dipersetujui bagi memenuhi sepenuhnya pembayaran Geran Khas Tahunan 40% sebagaimana termaktub di bawah Pelembagaan Persekutuan.
Fakta menarik. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima Geran Khas Tahunan sebanyak dua-perlima (40%) daripada kutipan hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Malaysia daripada Sabah. Perkara ini telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Malangnya, sepanjang lebih 50 tahun Kerajaan Malaysia didakwa telah gagal membuat pembayaran penuh Geran Khas Tahunan 40% kepada Sabah. Oleh kerana isu ini berlanjutan sekian lama tanpa penyelesaian, Sabah Law Society telah mengemukakan kes di mahkamah pada bulan Jun 2022.
Seterusnya, pada bulan Oktober 2025, mahkamah telah memutuskan supaya Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah mengadakan semakan bersama untuk pembayaran berkenaan, bagi setiap tahun kewangan daripada tahun 1974 hingga 2021.
Mahkamah turut mengarahkan semakan tersebut dilaksanakan dalam tempoh masa 90 hari, dan persetujuan dicapai dalam tempoh masa 180 hari daripada tarikh perintah mahkamah. Dengan itu, persetujuan bersama mesti dicapai menjelang bulan April 2026.
Selaras dengan arahan mahkamah tersebut, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti mekanisme pembayaran Geran Khas Tahunan 40% berkenaan, dan mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63) serta kepada Jemaah Menteri Malaysia.
Namun begitu, tiada penyelesaian dicapai sehingga kini. Tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah telah pun berlalu hampir enam bulan lepas.
Setakat ini, Sabah hanya menerima jumlah yang kecil sahaja setiap tahun sebagai pembayaran Geran Khas Tahunan 40% berkenaan, walaupun ada peningkatan besar. Sepanjang tempoh masa enam tahun (2020 – 2026), pembayaran berkenaan telah meningkat daripada RM 53.4 juta kepada RM 1.5 bilion.
| Tahun | 2020 | 2022 | 2023 | 2024 | 2025 | 2026 |
| Jumlah Geran | RM 53.4 juta | RM 125.6 juta | RM 260 juta | RM 300 juta | RM 600 juta | RM 1.5 bilion |
Hakikatnya, Sabah berhak menerima jumlah yang lebih besar sebagai pembayaran Geran Khas Tahunan 40%, mengikut anggaran semasa. Pada bulan Ogos 2024, Perdana Menteri Malaysia dilaporkan berkata, pada tahun 2023, Kerajaan Malaysia mengutip hasil sebanyak RM 10.2 bilion daripada Sabah.
Oleh yang demikian, berdasarkan hasil kutipan tersebut, anggaran pembayaran Geran Khas Tahunan 40% yang sepatutnya di terima oleh Sabah ialah RM 4.08 bilion, iaitu satu jumlah yang jauh lebih besar daripada pembayaran yang telah diterima oleh Sabah setiap tahun setakat ini.
Malah, ada pihak berpendapat pembayaran Geran Khas Tahunan 40% yang sepatutnya adalah lebih besar daripada anggaran RM 4.08 bilion tersebut.
Bayangkan, dengan jumlah yang besar ini, Kerajaan Sabah dapat melaksanakan agenda pembangunan secara lebih menyeluruh dan pantas. Untuk sekian lama, kekangan dana telah merencatkan pembangunan Sabah, dengan pelbagai isu legasi yang masih ‘tertangguh’ dan belum diselesaikan.
Sebenarnya, Sabah adalah sebuah wilayah yang kaya, dengan kutipan hasil yang besar setiap tahun. Laporan Sosioekonomi Negeri Sabah 2025, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan Ogos 2026, menunjukkan hasil yang telah dikutip oleh Kerajaan Sabah telah melonjak besar lebih 90% daripada RM 3.591 bilion (2020) kepada RM 6.842 bilion (2024).

Tambahan lagi, laporan berkenaan menunjukkan Sabah (RM 6.842 bilion) telah merekodkan kutipan hasil kedua tertinggi selepas Sarawak (RM 14.186 bilion) pada tahun 2024. Negeri-negeri lain jauh menyusul, antaranya: Selangor (RM 2.867 bilion), Johor (RM 2.110 bilion) dan Terengganu (RM 1.933 bilion).

Menariknya, negeri-negeri ‘maju’ seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang telah merekodkan kutipan hasil yang jauh lebih rendah, berbanding Sabah yang dipandang sebagai wilayah mundur dan miskin.
Seterusnya, Sabah (RM 470.9 juta) turut merekodkan surplus kedua tertinggi selepas Sarawak (RM 1.474 bilion). Manakala, negeri-negeri lain telah merekodkan surplus dan defisit, antaranya: Terengganu (+RM 212 juta), Selangor (+RM 142 juta), Johor (+RM 103 juta).
Pulau Pinang (-RM 174.1 juta) telah merekodkan defisit terbesar.

Jumlah surplus yang besar, iaitu perbezaan di antara kutipan hasil dan perbelanjaan mengurus, membuktikan Kerajaan Sabah telah menguruskan dana kewangan secara berhemah, dengan mengambil kira kemampanan masa depan Sabah dan kesejahteraan rakyat.
Dana surplus ini boleh membina rizab simpanan atau reserve yang kukuh bagi kegunaan masa depan. Pada tahun 2024, rizab simpanan Sabah dilaporkan sudah mencapai RM 8.6 bilion. Ini selari dengan hasrat Kerajaan Sabah GRS untuk mewujudkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah atau Sabah Sovereign Wealth Fund, dengan suntikan modal daripada rizab simpanan sedia ada dan pelaburan tahunan daripada pembayaran Geran Khas Tahunan 40%.
Justeru itu, pembayaran Geran Khas Tahunan 40% mesti dimuktamadkan segera, agar Kerajaan Sabah dapat memperkasa agenda pembangunan Sabah dan membina kesejahteraan rakyat. Ramai rakyat Sabah masih menderita terperangkap di dalam penjara kemiskinan, dari generasi ke generasi.
Sabah hanya menuntut hak yang sedia termaktub. Not a penny more, not a penny less.



