HomeSukanSyabas Adeola, teruskan melangkah lebih jauh - Nizam

Syabas Adeola, teruskan melangkah lebih jauh – Nizam

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet karate negara kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert, yang menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Nizam berkata kejayaan Adeola meraih emas menerusi acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) bukan sahaja membanggakan negara, malah mengharumkan nama Sabah di pentas sukan antarabangsa.

Beliau berkata, sejurus tiba di Jepun bersama delegasi Sabah, beliau berkesempatan menghubungi Adeola menerusi panggilan video bagi menyampaikan ucapan tahniah dan rasa bangga atas kejayaan luar biasa atlet berusia 20 tahun itu.

“Lebih membanggakan, belum lama dahulu beliau berjuang membawa nama Sabah di SUKMA XXII Selangor 2026, dan hari ini berdiri sebagai juara Asia membawa Jalur Gemilang ke tangga tertinggi.

“Syabas Adeola. Teruskan melangkah lebih jauh dan menjadi inspirasi kepada atlet-atlet muda Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada aksi final di Gimnasium Toyohashi, Nagoya, Adeola menampilkan aksi tenang dan bertenaga sebelum menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 untuk meraih emas dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia.

Atlet dari Sabah itu terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir.

Dalam pusingan terdahulu, Adeola mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait sebelum mengatasi Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7.

Kejayaan itu turut meneruskan momentum positif Adeola selepas beliau meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.

Pingat emas berkenaan juga menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Nizam berkata kejayaan Adeola membuktikan atlet dari Sabah mampu bersaing di peringkat tertinggi sekiranya diberikan ruang, latihan dan sokongan yang berterusan.

“Dari Tambunan, membawa nama Sabah, dan kini mengharumkan nama Malaysia. Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai atlet muda Sabah untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Sukan

Aichi- Nagoya2026: Adeola hadiah emas pertama Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular