PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing ditahan dan 52.55 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM6,000 dirampas dalam operasi di Jalan Penampang Lama, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata suspek berusia 45 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira jam 11 malam, 22 September lalu.
Katanya, tindakan itu dibuat berdasarkan maklumat diterima pihak polis dan hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Menurutnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sammy turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.



