KOTA KINABALU: Pembinaan Kompleks Sukan Sook bernilai RM15 juta dijangka membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat, khususnya golongan belia, untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata kompleks sukan berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan riadah, malah berpotensi menjadi pusat utama untuk penganjuran pelbagai aktiviti dan program sukan di kawasan itu.
Katanya, pembangunan kompleks berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh kemudahan asas untuk masyarakat Sook, selain memberi ruang lebih luas kepada usaha mengenal pasti serta mengembangkan bakat sukan dalam kalangan generasi muda.
“Apabila kompleks ini siap kelak, ia akan menjadi pusat utama penganjuran pelbagai acara sukan serta mampu mencungkil bakat baharu yang akan mengharumkan nama Sook di persada yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Projek berkenaan telah dimulakan pada 1 Ogos 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 1 Ogos 2029.
Arthur berkata, kompleks itu akan dibangunkan di atas tapak seluas tujuh ekar dengan pelbagai kemudahan sukan moden bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Antara kemudahan yang dirancang ialah padang bola sepak, trek sintetik lapan lorong, gelanggang serbaguna berbumbung serta tempat duduk penonton utama atau grandstand.
Grandstand berkenaan turut menempatkan ruang pejabat pentadbiran bagi menyokong pengurusan kompleks selepas ia beroperasi kelak.
Menurutnya, pembangunan itu turut melibatkan penyediaan kawasan tempat letak kereta serta kemudahan sokongan seperti sistem perparitan air permukaan, pagar perimeter, loji rawatan kumbahan, tangki simpanan air dan fasiliti utiliti.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang dapat meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.
“Pembinaan kemudahan sukan yang lengkap ini dijangka merancakkan lagi aktiviti gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia,” katanya.



