HomeUtamaDua kali disabit kes dadah, lelaki didakwa ambil dadah lagi

Dua kali disabit kes dadah, lelaki didakwa ambil dadah lagi

Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mempunyai dua sabitan lampau atas kesalahan mengambil dadah didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan sama.

Tertuduh Cassey Connel, 37, mengaku bersalah di hadapan Hakim Monica Linsua, namun mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan patologi.

Cassey didakwa memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 11 September lalu, kira-kira jam 11.35 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Pertuduhan menyatakan dia mempunyai dua sabitan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabitan pertama direkodkan pada 25 Ogos 2022 di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan dia dihukum penjara lapan bulan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Bagi sabitan kedua pada 16 Mei 2024 di mahkamah sama, dia dihukum penjara 12 bulan dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Tertuduh kini didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan.

Seksyen 38B(1) turut memperuntukkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan pegawai sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas menjalani hukuman, bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, manakala tertuduh yang tidak bekerja, tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan patologi dan membantah tertuduh diberikan jaminan.

Tertuduh akan terus ditahan sementara menunggu kes selesai.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama KPK, Sabah perkukuh sektor komoditi Ranau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular