HomeUtamaKK catat UV ekstrem, orang ramai disaran elak cuaca panas

KK catat UV ekstrem, orang ramai disaran elak cuaca panas

Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya di Kota Kinabalu disaran mengurangkan aktiviti di luar rumah pada waktu tengah hari susulan bacaan Indeks Ultraviolet (UV) yang mencapai tahap ekstrem, hari ini.

Data cerapan Stesen Brewer #231 Kota Kinabalu pada Khamis menunjukkan bacaan Indeks UV meningkat secara berperingkat sejak jam 9 pagi sebelum melepasi paras 11 sekitar jam 11 pagi.

Bacaan berkenaan kemudiannya terus meningkat sehingga mencapai kemuncak sekitar 12.3 pada tengah hari, sekali gus menunjukkan tahap pendedahan sinaran UV yang tinggi kepada orang ramai yang berada di kawasan terbuka.

Pada tahap sedemikian, pendedahan terus kepada sinaran UV untuk tempoh panjang boleh meningkatkan risiko kesan terhadap kesihatan, termasuk selaran matahari dan kerosakan mata.

Keadaan panas turut boleh meningkatkan risiko dehidrasi dan kelesuan haba, terutama kepada individu yang melakukan aktiviti fizikal atau bekerja di kawasan terbuka.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari, terutama antara jam 11 pagi hingga 3 petang.

Bagi mereka yang perlu berada di luar, disaran memakai pakaian yang menutup kulit, topi bertepi lebar dan cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV adalah digalakkan.

Orang ramai juga disaran minum air secukupnya bagi memastikan tubuh kekal terhidrat ketika cuaca panas.

Golongan yang melakukan aktiviti luar juga perlu mengambil rehat secara berkala dan mendapatkan tempat teduh sekiranya mula berasa tidak selesa, terlalu letih atau mengalami tanda-tanda berkaitan haba.

Langkah pencegahan berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kesihatan susulan pendedahan berlebihan kepada sinaran UV, terutama ketika indeks berada pada tahap ekstrem.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua anggota RELA didakwa berhubung tuntutan elaun palsu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular