KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh isterinya empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nul Sadam Jemsi, 35, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Nul, pemegang IMM13, didapati bersalah membunuh isterinya, Nasfidah Japarah, 22, antara jam 10 malam hingga 11.45 malam pada 22 Mac 2022 di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Blok J, Segama.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, sebatan minimum 12 kali bagi pesalah lelaki berusia bawah 50 tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Mac 2022.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 16 saksi, manakala seorang saksi memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Jamadi Saleh.
Nul Sadam sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 5 April 2022, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu.
Selepas kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 8 Mei 2025.
LINK BERITA TERDAHULU:



