Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh isterinya tiga tahun lalu.
Nul Sadam Jemsi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Datuk Celestina Stuel Galid.
Tertuduh didakwa membunuh seorang wanita bernama Nasfidah Japarah, 22, pada 22 Mac 2022, antara jam 10 malam hingga 11.45 malam, di sebuah bilik sewa tidak bernombor di Segama, dalam daerah Kota Kinabalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, tertuduh hendaklah diseksa dengan tidak kurang daripada 12 sebatan, sekiranya sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 – 25 Julai dan 28 Julai – 1 Ogos tahun ini sebagai tarikh perbicaraan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Jamadi Saleh.
Nul Sadam sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 5 April 2022, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa cemburu dipercayai menjadi punca pertengkaran pasangan tersebut, menyebabkan tertuduh naik marah sebelum mengambil pisau dari dapur dan menyerang isterinya.