HomeUtamaDua anggota RELA didakwa berhubung tuntutan elaun palsu

Dua anggota RELA didakwa berhubung tuntutan elaun palsu

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh J Evachel John

TAWAU: Dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini berhubung tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana.

Mohamad Ihsan Said, 42, dan Radzmil Saadan, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi selepas pertuduhan masing-masing dibacakan.

Mohamad Ihsan Said, 42, Penolong Pegawai Pertahanan Awam (KP29), berdepan tiga pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu, manakala Radzmil, Pembantu Pertahanan Awam (KP19), berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengannya dalam kesalahan berkenaan.

Mengikut tiga pertuduhan terhadap Mohamad Ihsan, dia didakwa memberikan kepada seorang pegawai dokumen Rumusan Tuntutan Elaun Penugasan Daerah Lahad Datu Negeri Sabah yang mengandungi butir matan palsu mengenai tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut.

Butir matan palsu itu membabitkan jumlah jam bertugas dalam tuntutan yang melebihi jumlah jam bertugas yang sebenarnya dilaksanakan.

Pertuduhan itu membabitkan tuntutan bagi bulan November dan Disember 2022 serta Januari 2023, masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara Disember 2022 hingga Februari 2023 di Pejabat RELA Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24( 2) Akta yang sama.

Sementara itu, Radzmil pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Ihsan, yang ketika itu merupakan Pegawai RELA Daerah Lahad Datu dengan menyemak borang tuntutan elaun berkenaan yang mengandungi jumlah jam bertugas melebihi jumlah jam sebenar yang dilaksanakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat RELA Lahad Datu pada Disember 2022, Januari dan Februari 2023, membabitkan tuntutan bagi November dan Disember 2022 serta Januari 2023.

Radzmil didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan RM3,000 didepositkan kepada mahkamah bagi kesemua pertuduhan serta seorang penjamin tempatan.

Kedua-duanya turut diperintahkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan kes dan pengurusan kes praperbicaraan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, manakala perbicaraan ditetapkan pada 19 dan 20 November.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Electricity raih enam pengiktirafan IGNITE 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular