KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lelaki, termasuk seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.
Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang berkenaan sebagai balasan untuk memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di salah sebuah daerah di Sabah.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dalam perbuatan berkenaan sekitar 2024 dan 2025, termasuk menerima wang rasuah secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek dijadualkan dituduh pada 28 September 2026 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.



