HomeUtamaLebih 10 juta carian Sabah di REDnote cetus minat tinggi pelancong China

Lebih 10 juta carian Sabah di REDnote cetus minat tinggi pelancong China

Read Time:1 Minute, 28 Second

SHANGHAI: Lebih 10 juta carian berkaitan Sabah direkodkan menerusi platform REDnote (Xiaohongshu), sekali gus menunjukkan tahap keterlihatan dan minat yang tinggi terhadap negeri itu dalam kalangan pengguna China.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, angka berkenaan menunjukkan Sabah mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong dari China.

Beliau berkata, data berkenaan dikongsikan ketika lawatan beliau ke ibu pejabat REDnote di Shanghai, semalam, sebagai sebahagian usaha Sabah memperluas promosi pelancongan di pasaran China.

“Ini adalah petunjuk yang sangat menggalakkan untuk Sabah. Minat itu sudah ada dan tumpuan kita sekarang adalah untuk menukarkan minat berkenaan kepada kunjungan sebenar.

“Kita mahu lebih ramai pelancong China datang dan merasai sendiri pengalaman di Sabah, daripada keindahan matahari terbenam dan Gunung Kinabalu hinggalah ke pulau-pulau, makanan laut segar, hidupan liar serta kepelbagaian budaya,” katanya.

Menurutnya, antara tarikan Sabah yang mendapat perhatian tinggi dalam platform berkenaan termasuk panorama matahari terbenam, kawasan pergunungan, keindahan laut dan makanan laut segar.

Jafry berkata, perkembangan itu membuktikan platform digital seperti REDnote semakin penting dalam mempengaruhi keputusan perjalanan, khususnya dalam kalangan pelancong muda dan pelancong yang merancang perjalanan secara sendiri.

Katanya, Sabah akan meneroka peluang kerjasama strategik dengan REDnote bagi memperkukuh promosi destinasi serta mencapai lebih ramai bakal pelancong di seluruh China.

“China kekal sebagai pasaran pelancongan penting bagi Sabah. Ketika kita memperkukuh hubungan udara, pemasaran destinasi juga perlu sampai kepada pelancong menerusi platform yang mereka gunakan untuk mencari maklumat dan merancang percutian,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan Sabah di China turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh promosi pelancongan, kerjasama dengan pemain industri serta akses pasaran menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Sabah 2027.

Menurutnya, peningkatan keterlihatan Sabah di platform digital seperti REDnote boleh dimanfaatkan bagi membina kesedaran lebih meluas mengenai produk dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan negeri itu.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM tahan dua individu disyaki terima rasuah RM18,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular