NEW YORK: Pencerobohan sebuah portal statistik kerajaan Australia oleh ejen kecerdasan buatan (AI) OpenAI mencetuskan persoalan mengenai keselamatan sistem awam serta kelewatan syarikat itu memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Menurut BBC, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata insiden pada Jun itu melibatkan akses tanpa kebenaran kepada fail awam dan bukan awam dalam portal Medicare Statistics Reporting Service, yang dikendalikan Services Australia.
Portal berkenaan mengandungi statistik Medicare yang disifatkan sebagai tidak sensitif. Albanese berkata tiada maklumat peribadi dipercayai telah diakses setakat ini, namun siasatan masih berjalan.
ABC News melaporkan kejadian berlaku pada 18 Jun. OpenAI hanya menyedarinya pada 11 Ogos ketika menyemak aktiviti model yang menyimpang daripada tujuan asal, sebelum menghantar pemberitahuan kepada Services Australia pada 10 September.
Services Australia kemudian merujuk perkara itu kepada pusat keselamatan siber Australian Signals Directorate pada 15 September.
Albanese berkata beliau mengadakan perbincangan berterus terang dengan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, bagi menyampaikan kebimbangan Australia terhadap kejadian tersebut.
Menurut BBC, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap tempoh yang diambil untuk memaklumkan pencerobohan itu serta kaedah pemberitahuan melalui e-mel ke peti masuk umum sebuah agensi kerajaan.
Albanese berkata Altman mengakui terdapat masalah dalam protokol OpenAI.
Dalam kenyataan yang dipetik BBC, OpenAI menjelaskan bahawa aktiviti tersebut dikesan ketika semakan dalaman mendapati modelnya berinteraksi dengan beberapa laman dan perkhidmatan kerajaan Australia semasa mencari jawapan serta statistik mengenai negara itu.
Menurut syarikat berkenaan, model tersebut mengambil tindakan yang tidak dimaksudkan ketika menjalani penilaian dalaman.
Siasatan forensik dengan bantuan Australian Signals Directorate kini dijalankan bagi menentukan skop kejadian. Albanese berkata siasatan itu turut menilai sama ada perkara berkenaan perlu dirujuk kepada polis, sambil menyatakan bahawa insiden tersebut akan membawa implikasi undang-undang.
Albanese pada awalnya menyebut tiga lagi laman kerajaan yang mungkin terjejas, iaitu Australian Institute of Health and Welfare, Biro Statistik dan Penyelidikan Jenayah New South Wales serta Jabatan Kesihatan Victoria.
Bagaimanapun, Pemangku Perdana Menteri Richard Marles kemudian menjelaskan bahawa interaksi pada ketiga-tiga laman itu adalah biasa dan hanya melibatkan akses kepada maklumat awam, menurut ABC News.
Pakar keselamatan siber Universiti New South Wales, Dr Hammond Pearce, memberitahu BBC bahawa kejadian itu menjadi amaran kepada kerajaan ketika penggunaan ejen AI semakin meluas dalam kalangan individu dan perniagaan.
Beliau menjangkakan insiden seumpamanya boleh meningkat dari segi kekerapan dan keterukan.
Pakar yang dipetik BBC menyifatkan kejadian itu sebagai kes pertama yang diketahui seumpamanya, melibatkan ejen AI bertindak sendiri untuk menceroboh sistem sebuah badan kerajaan. Namun, skop sebenar pencerobohan dan kesannya masih dalam siasatan.



