KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Perodua Viva yang terbabas di bahu jalan berhampiran Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG999 pada jam 4.01 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan tiba pada jam 4.07 pagi dan mendapati sebuah Perodua Viva terbabas sendiri di bahu jalan.
“Kemalangan itu melibatkan dua mangsa, namun seorang daripadanya telah melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Seorang lagi mangsa lelaki didapati tersepit di dalam kenderaan sebelum pasukan Bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.29 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.14 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.



