Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Program Literasi Pertahanan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, selain membangunkan ketahanan rakyat sebagai elemen penting daya rintang negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan bentuk ancaman dan cabaran keselamatan ketika ini memerlukan penglibatan rakyat, bukan hanya bergantung kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, ancaman terhadap negara kini bukan lagi terhad kepada konflik melibatkan tentera atau aset ketenteraan, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk cabaran termasuk bencana, perubahan cuaca dan serangan siber.
“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk membangunkan ketahanan rakyat dan apabila wujud ketahanan rakyat, ia akan menjadi satu credible defence atau daya rintang.
“Apabila rakyat mempunyai daya tahan, bersama kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh angkatan tentera, negara kita dapat mewujudkan daya rintang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.


Mohamed Khaled berkata, daya rintang yang kukuh dapat memberi isyarat bahawa Malaysia mempunyai rakyat dan angkatan tentera yang bersedia, kuat serta kukuh dalam menghadapi sebarang ancaman.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan inisiatif pertama seumpamanya dan Sabah dipilih sebagai negeri pertama bagi pelancarannya sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Program ini akan dilaksanakan di peringkat komuniti dengan penglibatan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Selepas ini, ia akan disusun untuk dilaksanakan di lokasi lain dan masyarakat setempat juga boleh memohon supaya program seumpama ini diadakan di kawasan mereka,” katanya.
Menurutnya, peningkatan ketahanan rakyat penting kerana masyarakat turut mempunyai peranan dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan krisis, termasuk bencana alam serta serangan siber.
Dalam perkembangan berkaitan keselamatan serantau, Mohamed Khaled berkata Malaysia mengambil perhatian terhadap pembangunan pangkalan tentera Filipina di Kepulauan Balabac, Palawan yang terletak berhampiran Pulau Banggi.
Katanya, Malaysia menghormati hak setiap negara untuk memperkukuh pertahanan masing-masing, termasuk Filipina yang membangunkan keupayaan pertahanannya dengan kerjasama Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memperkukuh kedudukan pertahanan negara, khususnya di Sabah, berikutan kedudukan geografi kawasan berkenaan yang berhampiran dengan laluan strategik di Laut China Selatan.
“Sebagai sebuah negara jiran, kita memberi perhatian dan wajar mengambil tindakan yang boleh membantu negara kita dari segi pertahanan.
“Kebimbangan kita ialah jika berlaku konflik atau perkara yang tidak dijangkakan di kawasan itu, ia mungkin menjejaskan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan persaingan antara kuasa besar di Laut China Selatan turut perlu diberi perhatian kerana sebarang pertembungan di kawasan berkenaan berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.
“Filipina mempunyai haknya, kita faham. Tetapi kita tidak boleh berdiam diri. Atas sebab itu juga kita memilih Sabah sebagai tempat untuk membangunkan ketahanan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA



