HomeUtamaMurid dakwa ditampar guru ketika solat berjemaah

Murid dakwa ditampar guru ketika solat berjemaah

Read Time:1 Minute, 10 Second

BEAUFORT: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun mendakwa ditampar dua kali pada bahagian kiri kepala oleh seorang guru ketika menunaikan solat Zuhur berjemaah di surau sebuah sekolah di daerah ini pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu murid berkenaan selepas anaknya menceritakan kejadian yang didakwa berlaku ketika solat berjemaah.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, murid terbabit mendakwa seorang rakannya telah menolak badannya ketika berada dalam saf sehingga menyebabkan keadaan menjadi bising.

“Susulan itu, imam yang juga seorang guru didakwa memberhentikan solat sebelum menghampiri murid berkenaan dan menampar bahagian kiri kepalanya sebanyak dua kali.

“Mangsa mendakwa berasa sakit selepas kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Champin berkata, beberapa hari selepas kejadian, murid terbabit mengalami pendarahan hidung ketika berada di rumah sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.

Katanya, ibu murid berkenaan kemudian membuat laporan polis pada 25 September lalu kerana mengesyaki kejadian itu mempunyai kaitan dengan insiden tamparan yang didakwa berlaku sebelum ini.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan fakta sebenar kejadian serta sama ada terdapat kaitan antara kecederaan yang dialami dengan insiden berkenaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan turut mengambil kira maklumat bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan berkaitan hidung dan pernah menjalani beberapa pembedahan sejak tahun 2024 serta masih dalam pemantauan doktor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK teliti pendekatan baharu pengurusan sampah di petempatan atas air

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular