KOTA KINABALU: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas pertuduhan berasingan membabitkan suapan RM18,000 berkaitan operasi perlombongan emas.
Kedua-dua tertuduh, Chong Tzu Khen, 69, dan Robert Robin Millip, 60, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A Dadi.
Chong dan Robert masing-masing berdepan tiga pertuduhan membabitkan pemberian dan penerimaan suapan.
Mengikut pertuduhan, Chong didakwa secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu pinjaman secara tunai kepada Robert selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian di Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah sebagai upah bagi memudahkan sebuah pengoperasian pelombongan emas.
Tiga pertuduhan itu membabitkan wang tunai RM10,000 di sebuah restoran pada April 2024, manakala RM3,000 dan RM5,000 masing-masing di sebuah kedai kopi pada Oktober 2024 dan Oktober 2025.
Robert pula didakwa secara rasuah memperoleh suapan berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM18,000 daripada Chong, CEO syarikat, bagi tujuan sama pada masa dan tempat yang sama.
Chong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Manakala Robert didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi kedua-dua Seksyen itu memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun; dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini untuk pengurusan kes praperbicaraan, manakala perbicaraan dijadualkan pada 11 hingga 13 Januari tahun depan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.
Antara syarat tambahan jaminan, mereka dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai atau sehingga perintah lanjut mahkamah.
Mereka turut diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak dibenarkan meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran mahkamah. Chong yang merancang untuk ke Perth, Australia, pula diminta mengemukakan permohonan rasmi melalui peguamnya untuk pertimbangan mahkamah.
Kedua-duanya turut diperintahkan supaya tidak mengganggu, menghubungi atau mencampuri mana-mana saksi pendakwaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Jason Chin dan Beverly Ivy.



