HomeUtamaPRU16: GRS sasar tambah kerusi Parlimen, calon boleh menang jadi pertimbangan

PRU16: GRS sasar tambah kerusi Parlimen, calon boleh menang jadi pertimbangan

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk menambah jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang dengan memberi tumpuan kepada kawasan berpotensi serta pemilihan calon yang boleh menang.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berdasarkan simulasi undi PRN Sabah lalu, GRS secara teorinya berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu bukan sasaran akhir kerana GRS mahu membina kekuatan lebih besar bagi memastikan suara Sabah di peringkat Persekutuan lebih kukuh.

“Kalau kita lihat dari segi kiraan simulasi, tidak termasuk dengan adanya UPKO sekarang, kalau kita lihat kiraan undi simulasi DUN yang lepas, GRS secara atas kertas boleh menang dalam 14 hingga 15 kerusi Parlimen.

“Tetapi kita mahu lebih daripada itu sebab kita mahu ada suara Sabah, solidariti Sabah, suara Sabah itu melalui GRS dengan jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya pada ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Menurut Armizan, GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen susulan kemasukan UPKO yang membawa dua Ahli Parlimen ke dalam gabungan berkenaan.

Beliau berkata, strategi GRS bagi menghadapi PRU akan datang adalah untuk mengekalkan sokongan di kawasan yang dimenangi atau memperoleh jumlah undi signifikan, selain meningkatkan sokongan di kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi.

Dalam masa sama, katanya, pengalaman dan pengajaran daripada PRN Sabah lalu akan menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan calon yang akan bertanding.

“Bukan hanya kerusi yang berpotensi untuk menang tetapi paling penting juga lesson learned daripada Pilihan Raya Negeri yang lepas, winnable candidate juga cukup penting.

“Jadi itu antara pertimbangan yang dilihat dalam perbincangan kita,” katanya.

Armizan berkata, GRS juga perlu mengambil kira mesej yang disampaikan rakyat Sabah menerusi keputusan PRN lalu, selain memastikan kestabilan kerajaan negeri dapat diteruskan.

Katanya, bentuk kerjasama politik di peringkat negeri juga perlu mengambil kira perkembangan politik semasa di peringkat nasional yang dinamik.

“Keutamaan kita buat masa ini adalah memperkuatkan GRS. Kita mahu kestabilan kerajaan negeri itu dapat diteruskan dan pada masa yang sama kita mahu suara rakyat melalui Pilihan Raya Negeri lepas itu kita ambil kira.

“Yang paling penting, rumah kita, kita perkemaskan dulu, perkukuhkan GRS,” katanya.

Mengenai kemungkinan parti nasional bertanding di bawah GRS, Armizan berkata perkara itu belum dibincangkan dan tidak berbangkit dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan sekiranya wakil-wakil dari kawasan itu berpecah tanpa kesepaduan, kekuatan suara Sabah di peringkat Persekutuan akan menjadi kurang kukuh.

“Kita mahu supaya wakil-wakil Sabah di 25 kawasan Parlimen itu kelak datangnya daripada GRS dan Ahli Parlimen yang boleh bersama-sama membawa aspirasi Sabah dan kepentingan negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

LKAN 2/2026 : Lima lanjutan masa, projek kuarters bomba Semporna ditamatkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular