HomeUtamaTekanan media sosial boleh jejas kesejahteraan emosi, kesihatan mental

Tekanan media sosial boleh jejas kesejahteraan emosi, kesihatan mental

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Tekanan akibat penggunaan media sosial boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan kesihatan mental masyarakat, khususnya golongan muda.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE), Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis berkata, walaupun media sosial menyediakan pelbagai manfaat termasuk sebagai medium pembelajaran, komunikasi dan perkongsian pengalaman, penggunaannya perlu dilakukan secara bijak dan bertanggungjawab.

Katanya, penggunaan media sosial secara tidak terkawal boleh mendedahkan individu kepada pelbagai cabaran termasuk tekanan sosial, perbandingan diri dan buli siber yang berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan mental.

“Media sosial membuka ruang untuk belajar, berhubung dan berkongsi pengalaman. Namun, pada masa yang sama, ia boleh membawa cabaran seperti tekanan sosial, perbandingan diri dan buli siber yang mempengaruhi kesejahteraan mental.

“Dalam usaha memperkukuh kesihatan mental, kita bukan sahaja perlu melihat kepada diagnosis, rawatan atau statistik, tetapi juga memberi ruang untuk mendengar suara dan pengalaman sebenar individu yang melalui cabaran kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Hospital Tahun 2026 di Auditorium HQE, di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE, Dr Lew Sheau Voon.

Menurut Abd Kahar, pendekatan mendengar pengalaman individu dengan empati dan tanpa prejudis penting bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja dapat membantu menambah baik perkhidmatan kesihatan mental, malah mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong kepada individu yang berdepan cabaran kesihatan mental.

“Apabila kita mendengar dengan empati dan tanpa prejudis, kita dapat memahami keperluan mereka dengan lebih baik sekali gus membantu menambah baik perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kesejahteraan mental warga hospital turut perlu diberikan perhatian memandangkan beban tugas dan tanggungjawab petugas kesihatan boleh menyebabkan tekanan.

Sehubungan itu, katanya, budaya kerja yang saling menyokong, bersedia mendengar serta menggalakkan rakan sekerja mendapatkan bantuan apabila diperlukan perlu terus diperkukuh.

“Saya berharap semua peserta dapat membawa pulang satu mesej penting bahawa kesihatan mental perlu dibicarakan secara terbuka, bertanggungjawab dan tanpa stigma.

“Media sosial pula perlu dimanfaatkan sebagai medium yang membina, bukannya ruang yang menjejaskan kesejahteraan diri atau orang lain,” katanya.

Sambutan bertemakan ‘Lived Experience Heard: Real Voices, Real Change’ itu turut menampilkan forum bertajuk ‘Di Sebalik Skrin: Media Sosial, Kesihatan Mental dan Realiti Kehidupan’ yang menghimpunkan pakar psikiatri serta pempengaruh media sosial tempatan.

Forum berkenaan menampilkan Pakar Psikiatri, Dr NityaPriya Palanivail bersama pempengaruh media sosial tempatan, Jo-Anna Sue Henley Rampas dan Bonyventure Hee, manakala Geoallen George bertindak sebagai moderator.

Kira-kira 180 peserta terdiri daripada kakitangan hospital, guru, pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sekitar Kota Kinabalu menghadiri program anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HQE itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Kualiti udara di Tawau tidak sihat, catat IPU 154

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular