Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan mendapatkan arahan anak guam mereka sebelum memutuskan sama ada tindakan sivil perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat berkata, buat masa ini, pasukan guaman memberi keutamaan kepada penyediaan penghujahan bertulis bagi inkues kematian Zara Qairina yang sudah selesai.
“Untuk tindakan sivil, buat masa ini kami hanya fokus kepada inkues ini dahulu, terutamanya penghujahan bertulis. Itu keutamaan kami setakat ini.
“Selepas ini, kami perlu berbincang dengan anak guam kerana kami hanya boleh memberikan pandangan.
“Namun, arahan dan keputusan akhir sama ada perlu mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab terpulang kepada anak guam,” katanya ketika menjawab pertanyaan media mengenai kemungkinan tindakan sivil terhadap mana-mana pihak.
Beliau ditemui selepas Mahkamah Koroner menetapkan 15 Disember ini sebagai tarikh akhir bagi pihak berkepentingan memfailkan penghujahan bertulis, manakala keputusan inkues akan disampaikan pada 15 Januari tahun depan.
Mengulas mengenai perjalanan inkues selama 96 hari yang melibatkan 83 saksi, Shahlan melahirkan rasa syukur kerana prosiding itu berjalan lancar walaupun bukan sesuatu yang mudah.
“Kami bersyukur inkues berjalan dengan lancar. Saya percaya 96 hari bukanlah sesuatu yang mudah. Ini adalah inkues yang agak cepat dalam sejarah Malaysia.
“Perlu diingatkan inkues ini berjalan serentak dengan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak dan terdapat banyak perkara yang perlu kami huraikan dalam penghujahan bertulis nanti.
“Kami berharap keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil kepada semua pihak,” katanya.



