Oleh Normimie Diun
KUALA PENYU: Pembukaan pejabat baharu Sabah Electricity di Kuala Penyu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8,729 pengguna elektrik, sekali gus memudahkan urusan pelanggan di kawasan Kuala Penyu dan Menumbok.
Pelancaran pejabat berkenaan disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Limus Jury, di sini hari ini.
Limus berkata, usaha menaik taraf pejabat itu mencerminkan komitmen Sabah Electricity dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan menerusi penyediaan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk urusan pelanggan serta operasi kakitangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity atas inisiatif berkenaan dan yakin usaha berterusan meningkatkan mutu bekalan elektrik serta perkhidmatan pelanggan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan Kuala Penyu secara menyeluruh.
Sementara itu, Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz, berkata pembukaan pejabat baharu itu melengkapkan kemudahan tempat kerja untuk 29 kakitangan syarikat yang bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada penduduk Kuala Penyu dan Menumbok.
“Perkara yang menggembirakan kepimpinan dan warga Sabah Electricity pada hari ini ialah kita dapat melengkapkan pejabat serta menyediakan tempat yang sesuai untuk warga kerja kita.
“Kita mempunyai seramai 29 pekerja di sini yang memberikan perkhidmatan kepada kawasan Kuala Penyu dan Menumbok,” katanya.
Menurut Saadiah, kemudahan baharu itu turut menyediakan ruang kepada pelanggan untuk berurusan secara langsung dengan Sabah Electricity bagi mendapatkan penyelesaian berkaitan perkhidmatan elektrik.
Katanya, kemudahan itu penting bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran, mendapatkan maklumat berkaitan utiliti serta mengemukakan pertanyaan mengenai isu tenaga.
“Kita berharap dengan adanya bangunan baharu ini, pelanggan mempunyai ruang untuk berurusan terus dengan Sabah Electricity. Ini sangat penting kerana kita mahu membantu pelanggan menyelesaikan urusan mereka dengan lebih mudah, termasuk pembayaran dan mendapatkan maklumat berkaitan utiliti atau isu tenaga.
“Dengan adanya ruang ini, warga Sabah Electricity dapat memberikan penyelesaian dan membantu masyarakat setempat,” katanya.
Pejabat baharu itu meliputi kawasan perkhidmatan yang merangkumi 74 kampung di Kuala Penyu dan Menumbok, dengan kemudahan yang direka untuk melancarkan urusan pelanggan serta memperkukuh hubungan syarikat dengan komuniti setempat.
Bangunan berkenaan turut dilengkapi konsep ruang pejabat terbuka yang praktikal dan moden bagi menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif, meningkatkan koordinasi dalam kalangan kakitangan serta melancarkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Projek pembinaan pejabat itu bermula pada 5 Januari 2024 dengan kos kontrak RM2,993,850. Bangunan berkenaan siap dan mula digunakan oleh kakitangan Sabah Electricity pada 28 September 2026.
Pembukaan pejabat baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sabah Electricity untuk memperkukuh kehadirannya di peringkat daerah serta memastikan perkhidmatan yang disediakan terus memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Ts Ir Yaakub Jaafar.



