HomeUtamaKonvensyen GRS 2026 berlangsung di Kudat Ahad ini

Konvensyen GRS 2026 berlangsung di Kudat Ahad ini

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menganjurkan Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat, pada Ahad ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata konvensyen tahunan yang julung kali dianjurkan pada 18 Oktober itu diadakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS supaya penganjuran konvensyen tidak tertumpu di Kota Kinabalu sahaja, sebaliknya dilaksanakan secara bergilir di daerah lain, tertakluk kepada kesesuaian logistik.

Beliau berkata, konvensyen itu dijangka menghimpunkan hampir 3,000 peserta dan pemerhati yang mewakili kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Konvensyen berkenaan akan menampilkan ucaptama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, selain sesi perkongsian oleh enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan utama setiap parti komponen gabungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, konvensyen itu menjadi platform untuk menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian bagi membincangkan strategi politik serta perkembangan agenda pembangunan negeri.

Beliau berkata, perbincangan akan memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu memperkukuh kesiapsiagaan parti, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), serta menilai kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri berdasarkan manifesto GRS.

“Penilaian itu turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan agenda pembangunan negeri terus digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, kepimpinan parti di peringkat akar umbi yang tidak dapat menghadiri konvensyen secara fizikal turut berpeluang mengemukakan pandangan dan maklum balas secara dalam talian menerusi platform yang disediakan oleh Sekretariat Ibu Pejabat GRS.

RELATED ARTICLES
Utama

HUMS sasar sekolah luar bandar, pedalaman perluas latihan kecemasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular