MELAKA, – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membuka bidaan untuk motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya bagi menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 yang diperintahkan mahkamah dalam kes saman fitnah oleh Teresa Kok.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia memikul tanggungjawab membayar jumlah tersebut sepenuhnya.
Beliau mengakui jumlah RM300,000 itu sangat besar baginya, dan segala simpanan yang ada masih belum mencukupi.
“Inilah dua aset yang telah habis dibayar dan boleh saya jual,” katanya, sambil menjelaskan beliau tidak memiliki tanah atau rumah untuk dijual.
Akmal turut menghargai cadangan penyokong supaya dibuka tabung sumbangan bagi membantunya, namun memilih untuk berusaha sendiri terlebih dahulu.
Katanya, setiap orang mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing, justeru selagi ada miliknya yang boleh dilepaskan, beliau mahu mengusahakannya dahulu.
Beliau turut memaklumkan bahawa berat hatinya berpisah dengan kedua-dua aset itu kerana masing-masing mempunyai cerita dan penat lelah tersendiri.
Menurut Akmal, pembida yang serius perlu memasukkan deposit RM100 ke akaun beliau, kemudian menghantar resit bersama nama aset yang dibida dan jumlah tawaran. Deposit akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.
Orang ramai yang berminat dinasihatkan menyemak butiran akaun dan nombor telefon terus daripada halaman Facebook rasmi Akmal bagi mengelak penipuan.
Pada 19 Oktober lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim di Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar ganti rugi am dan teruk RM250,000 serta kos RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh itu.
Mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal yang menghalang Akmal mengulangi kenyataan berunsur fitnah tersebut, dan mengarahkan video berkaitan dipadam daripada semua akaun media sosialnya dalam tempoh tujuh hari.
Saman itu difailkan Kok pada Oktober 2024 berhubung kenyataan Akmal dalam video TikTok bertarikh 7 September 2024 mengenai isu pensijilan halal.
Kok dilaporkan berkata beliau lazimnya menyalurkan wang ganti rugi daripada kes saman kepada tujuan amal, selain membayar peguam yang mengendalikan kes. Setakat ini, belum diketahui sama ada Akmal akan memfailkan rayuan.



