HomeUtamaRM20 undang tragedi, pekerja ladang dipenjara 18 tahun

RM20 undang tragedi, pekerja ladang dipenjara 18 tahun

Read Time:2 Minute, 26 Second

J Evachel Johnlis

KOTA KINABALU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya akibat pertengkaran berhubung wang RM20.

Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu terhadap Risdi Baharuddin, 29, selepas warga Indonesia itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 31 Januari 2025.

Tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

Risdi telah menyebabkan kematian Jiecy Rondian, yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025 di rumah kongsi pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, dalam daerah Papar.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Risdi pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan di kawasan rumah kongsi pekerja ladang berkenaan kira-kira jam 8.10 malam pada hari kejadian.

Siasatan mendapati mangsa dan tertuduh bekerja di ladang yang sama serta tinggal bersama isteri masing-masing di rumah kongsi berhampiran.

Pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan mangsa berhubung wang RM20 yang dipinjam tertuduh daripada isteri mangsa.

Mangsa dikatakan menyindir tertuduh mengenai wang berkenaan sehingga pertengkaran menjadi tegang, sebelum beberapa individu di kawasan rumah kongsi cuba meleraikan mereka.

Keadaan reda buat seketika selepas kedua-duanya dinasihati supaya pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, pertengkaran berlaku semula sebelum tertuduh masuk ke rumahnya dan mengambil sebilah pisau berhulu kayu berukuran kira-kira 27 sentimeter dari dalam bilik.

Walaupun cuba dihalang isterinya, tertuduh tetap keluar sambil membawa pisau berkenaan dan meluru ke arah mangsa.

Isteri mangsa yang berada di hadapan rumah ketika itu memeluk suaminya dari belakang kerana ketakutan, sebelum tertuduh menikam mangsa beberapa kali pada bahagian badan sehingga mangsa berlumuran darah dan rebah.

Bagaimanapun, mangsa sempat bangun dan mengambil sebilah sabit dari dapur rumah sebelum keluar semula.
Seorang pekerja ladang kemudian menyambut mangsa yang hampir rebah dan membaringkannya di atas tanah.

Mangsa kemudiannya didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tertuduh melarikan diri dari kawasan rumah kongsi selepas kejadian.

Tertuduh ditahan polis pada 31 Januari 2025 di kawasan Kampung Ulu Lumagar, Bongawan.

Polis turut merampas sebilah pisau yang disimpan dalam beg plastik berwarna ungu pada bahagian pinggang kiri tertuduh.
Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa mengalami tiga luka tikam pada dada.

Satu daripada luka tikaman itu menembusi jantung dengan kedalaman sekurang-kurangnya 12 sentimeter, selain mangsa mengalami luka tetak pada lengan kanan serta beberapa luka abrasi dan lebam.

Punca kematian disahkan akibat luka tikam pada jantung (stab wound to the heart) yang menyebabkan pendarahan teruk.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh kestabilan bekalan ayam, telur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular