HomeUtamaMaritim Malaysia rampas 1,750 liter petrol bernilai RM18,000

Maritim Malaysia rampas 1,750 liter petrol bernilai RM18,000

Read Time:1 Minute, 22 Second

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup 1,750 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM18,000 ke negara jiran berjaya dipatahkan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dua bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan berhampiran Kampung Sinakut Tengah, awal pagi semalam.

Rampasan itu dilakukan Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris 4.0 hasil maklumat risikan.

Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan masing-masing pada jam 6 pagi dan 6.20 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot berwarna biru dan hijau itu membawa 38 dan 32 gelen minyak petrol, dengan setiap gelen berkapasiti 25 liter.

“Jumlah keseluruhan minyak petrol yang dirampas ialah 70 gelen bersamaan 1,750 liter, dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,000,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan kedua-dua bot itu berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa, selain meninggalkan bot bersama muatan masing-masing.

Tambahnya, selain minyak petrol, pihak Maritim Malaysia turut menemukan empat unit enjin pam bot yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Kedua-dua bot bersama muatan kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Felda Sahabat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran,” katanya.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan MERS 999.

RELATED ARTICLES
Dr Janathan
PolitikUtama

Gagasan Rakyat Tandek fokus perkukuh PPPK – Dr. Janathan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular