HomeUtamaPelaksanaan projek di Sabah perlu ditambah baik, kontraktor berwibawa jadi keutamaan -...

Pelaksanaan projek di Sabah perlu ditambah baik, kontraktor berwibawa jadi keutamaan – Anwar

Read Time:3 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperketat syarat pelaksanaan projek pembangunan di Sabah, khususnya membabitkan pemilihan kontraktor bagi memastikan projek diumumkan dapat disiapkan mengikut jadual dan tidak terus berdepan kelewatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara kelemahan yang dikenal pasti ialah syarat pelaksanaan projek sebelum ini yang terlalu mengutamakan syarikat tempatan, termasuk kontraktor dari daerah tertentu, sehingga menyukarkan pelaksanaan projek berskala besar.

Menurutnya, kerajaan telah berbincang semula dengan kerajaan negeri Sabah, khususnya Ketua Menteri, bagi memberikan kelonggaran supaya projek besar dapat dilaksanakan melalui proses tender terbuka dan pemilihan syarikat yang mempunyai keupayaan serta rekod prestasi baik.

“Jadi sebab itu kita telah berbincang semula dengan kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri, untuk memberikan kelonggaran supaya siapkan projek ini dengan cara telus, tender yang terbuka, dan pilih syarikat-syarikat yang cukup berwibawa.

“Kalau yang subkontrak kecil-kecil itu, memang kita serahkanlah supaya syarat-syarat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Anwar berkata, prestasi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak boleh dijadikan contoh kerana projek berkenaan berjalan dengan baik dan mengikut jadual sehingga kerajaan bersetuju menambah satu lagi lingkaran yang tidak termasuk dalam perancangan asal.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah berdepan beberapa masalah yang memerlukan penambahbaikan, termasuk isu pemilihan kontraktor dan keadaan muka bumi.

Sehubungan itu, beliau berkata, syarat lebih ketat telah ditetapkan bagi projek baharu sejak satu hingga dua tahun lalu, khususnya projek lebuh raya, jalan raya dan infrastruktur berskala besar.

“Projek-projek besar, terutama lebuh raya, jalan raya, hal-hal macam seperti ini, kita syaratkan sangat ketat.

“Mesti patuhi syarat-syarat nasional dan tidak tolak ansur daripada campur tangan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Persekutuan turut diminta meneliti semula beberapa langkah bagi mempercepatkan kerja pembaikan jalan yang terjejas, khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada teguran Ronald yang mempersoalkan kelemahan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah meskipun peruntukan besar telah diumumkan kerajaan.

Ronald berkata, rakyat Sabah masih berdepan masalah kemudahan asas termasuk jalan raya yang daif serta gangguan bekalan elektrik, khususnya di Tawau, walaupun pelbagai projek pembangunan telah diumumkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membangkitkan keperluan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kelemahan pelaksanaan projek, termasuk isu pembayaran 88 peratus bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) sedangkan kemajuan kerja hanya 13 peratus.

Beliau turut membangkitkan isu pinjaman tidak berbayar (NPL) Sabah Development Bank yang didakwa mencecah hampir RM5 bilion serta kelewatan projek infrastruktur di kawasan Semporna dan Tawau.

Shafie berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara tegas bagi memastikan kelemahan tadbir urus dan penyelewengan tidak berulang sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Menjawab perkara itu, Anwar bersetuju bahawa pelaksanaan projek perlu dibuat secara telus, teratur dan mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, kelemahan tadbir urus dalam projek TSGP dan MPP menyebabkan negara terpaksa menanggung kerugian berbilion ringgit, selain memerlukan rundingan dengan kerajaan China bagi mengurangkan beban kewangan.

“Bayangkan saya terpaksa runding dengan Presiden dan Perdana Menteri, dalam keadaan kita akui kesilapan kita, bukan kita runding kata kita ini hak kita, tidak.

“Kita dah mengalami kerugian, ada kelemahan besar dalam tata kelola. Jadi kita hanya minta kerjasama mereka kerana saya kata, akibat tindakan, kesalahan tadbir urus beberapa orang, menyebabkan negara menanggung kerugian berbilion ringgit,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan peraturan dan proses pemilihan kontraktor bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Mengulas masalah bekalan air di Sabah yang turut dibangkitkan Shafie, beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan kepada pihak berkaitan sejak sebulan lalu, termasuk masalah jalan berlubang dan kemudahan asas di beberapa kawasan lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi terima kunjungan hormat Pegawai Daerah Ranau baharu, Herry Awit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular