KOTA KINABALU: Terowong yang menghubungkan Pelabuhan Sepanggar dan Jalan Sepanggar yang gelap tanpa pencahayaan mencukupi dikhuatiri meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, termasuk pelanggaran membabitkan kenderaan berat.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen berkata, keadaan itu amat membimbangkan memandangkan terowong berkenaan merupakan laluan penting yang digunakan ribuan pengguna jalan raya setiap hari.
Beliau yang juga Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sepanggar berkata, keadaan gelap gelita boleh menjejaskan penglihatan pemandu, khususnya ketika memasuki terowong selepas melalui kawasan yang terang.
Katanya, perubahan pencahayaan secara mendadak boleh menyebabkan kesan ‘kebutaan mengejut’ (black-hole effect), sekali gus mengurangkan masa tindak balas pemandu terhadap sebarang halangan atau kenderaan di hadapan.
“Terowong kenderaan bertrafik tinggi tanpa sebarang pencahayaan adalah umpama mengundang tragedi.
“Pemandu yang beralih daripada cahaya siang yang terang kepada keadaan gelap gelita berdepan kesan kebutaan mengejut yang secara drastik mengurangkan masa tindak balas dan meningkatkan risiko pelanggaran berbilang kenderaan, terutama membabitkan lori kontena berat dan penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Roland, isu berkenaan perlu diberikan perhatian segera kerana terowong itu bukan sekadar laluan biasa, sebaliknya menjadi koridor logistik penting yang menghubungkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dengan kawasan kediaman dan perindustrian utama di Sepanggar.
Beliau berkata, keselamatan pengguna jalan raya tidak seharusnya dikompromi, lebih-lebih lagi laluan berkenaan turut digunakan pengendali logistik komersial dan pekerja pelabuhan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menghantar pasukan teknikal ke lokasi dengan segera bagi mengenal pasti punca masalah serta memulihkan sistem pencahayaan yang tidak berfungsi.
Katanya, tindakan segera perlu merangkumi pembaikan sistem elektrik yang rosak dan pemasangan lampu terowong LED berkecekapan tinggi serta tahan lasak, selain menyediakan bekalan kuasa sandaran bagi mengelakkan gangguan pencahayaan berulang.
Beliau turut menegaskan penyelenggaraan pencegahan secara berjadual dan telus perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem pencahayaan, saliran serta permukaan jalan sentiasa berada dalam keadaan baik.
Selain itu, Roland Chia mencadangkan pemasangan paku jalan pemantul cahaya (cat’s eyes), papan tanda amaran yang lebih jelas sebelum memasuki terowong serta peningkatan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi meningkatkan tahap keselamatan dan membolehkan tindakan kecemasan dilaksanakan dengan lebih pantas sekiranya berlaku insiden.
“Pengguna jalan raya di Sepanggar berhak menikmati infrastruktur yang selamat dan diselenggara dengan baik, sejajar dengan kepentingan ekonomi Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
“Kami menggesa Kementerian Kerja Raya Persekutuan menghantar pasukan teknikal ke lokasi dengan segera dan menyelesaikan masalah berbahaya ini sebelum nyawa melayang sia-sia,” katanya.



