SANDAKAN: Pendedahan kepada teknologi pertanian moden dan amalan mesra alam menjadi antara pendekatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menarik minat generasi muda terhadap sektor pertanian.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program UMS-SPRINT: SDG-ESG PLANTASIA @ FPL dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang berlangsung di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan.
Program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa Kursus EK00102 INTERIM Seksyen 501, Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027 serta pelajar MRSM untuk mengenali kaedah pertanian lestari melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPL, Profesor Madya Ts. Dr. Rovina Kobun berkata, pertanian mempunyai peranan besar bukan sahaja dalam menjamin bekalan makanan, malah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian kehidupan.
Katanya, penganjuran PLANTASIA @ FPL bertujuan memupuk kesedaran generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar menerusi penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Antara pengisian program ialah aktiviti menghasilkan baja kompos, membina kebun mini menggunakan bahan kitar semula serta memperkenalkan teknologi hidroponik sebagai alternatif kaedah penanaman tanpa tanah.
Peserta turut mengikuti ceramah dan demonstrasi hidroponik oleh Dr. Borhan Abdul Haya@Yahya, selain dibawa melawat kawasan sekitar FPL termasuk ladang ternakan untuk melihat sendiri aktiviti berkaitan sektor pertanian.
Pensyarah Kanan merangkap Jurulatih Kursus INTERIM Seksyen 501, Dr. Mohd Juhar Harun berkata, program itu turut memberi ruang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan melalui perancangan dan pelaksanaan aktiviti secara berkumpulan bersama komuniti.
Menurutnya, pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah itu dapat membantu membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan organisasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.
Program berkenaan turut mendapat sokongan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS pimpinan Profesor Madya Dr. Jurry Foo dalam usaha memperkasa kokurikulum berkredit, pembangunan kepimpinan mahasiswa dan penglibatan komuniti.
Selain memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada mahasiswa, inisiatif itu turut membuka peluang kepada pelajar MRSM mengenali bidang pertanian, teknologi makanan dan pengurusan sumber semula jadi sebagai pilihan pengajian serta kerjaya pada masa hadapan.



