HomeUtamaPembangunan modal insan, kompetensi staf asas kecemerlangan perkhidmatan awam

Pembangunan modal insan, kompetensi staf asas kecemerlangan perkhidmatan awam

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan dan peningkatan kompetensi penjawat awam, termasuk kakitangan sokongan, perlu terus diperkasakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal cekap, berkualiti dan memenuhi keperluan rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin berkata, kekuatan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada sistem dan dasar yang baik, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan sumber manusia yang melaksanakan setiap tanggungjawab.

Beliau berkata, dalam mendepani perubahan serta tuntutan rakyat yang semakin meningkat, penjawat awam perlu memiliki pemikiran strategik, keupayaan menyesuaikan diri dan kemahiran menguasai teknologi.

“Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, pembangunan modal insan menjadi asas penting untuk menterjemahkan agenda pembangunan negeri kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.

“Kita memerlukan penjawat awam yang memahami tujuan di sebalik setiap arahan dan tugasan, berani mengambil inisiatif, mampu menyelesaikan masalah serta menghasilkan nilai tambah kepada organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Professional Certificate in High Impact Public Service Leadership (PCHIPS) di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Norlijah berkata, peranan kakitangan sokongan juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka merupakan antara penggerak utama kelancaran operasi organisasi, khususnya dalam pengurusan rekod, urusan pentadbiran, proses kerja dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Menurutnya, setiap warga kerja mempunyai sumbangan tersendiri, malah penambahbaikan yang kelihatan kecil mampu membawa perubahan besar kepada organisasi sekiranya dilaksanakan dengan tekun dan konsisten.

Seramai 30 peserta berjaya menamatkan program PCHIPS yang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKePT) UMS, Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS).

Program yang berlangsung dari 15 September hingga 15 November lalu itu merangkumi 70 jam pembelajaran, terdiri daripada 34 jam pembelajaran berstruktur dan 36 jam bimbingan mentor-mentee.

Enam modul utama diterapkan sepanjang program berkenaan, meliputi pemikiran strategik, nilai dan budaya, tadbir urus, kualiti dan pelanggan, komunikasi serta digital bagi membina kompetensi kepimpinan yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan awam semasa.

Norlijah berkata, keberhasilan sesuatu program latihan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah sijil yang dikeluarkan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi perubahan sikap, peningkatan prestasi dan penambahbaikan yang dilaksanakan peserta selepas kembali bertugas.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Raman Noordin berkata, setiap penjawat awam tanpa mengira gred mempunyai peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan memenuhi harapan rakyat.

“Kita harus mengakui bahawa kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya terletak pada dasar, sistem, teknologi atau kemudahan yang dimiliki, tetapi amat bergantung kepada kualiti dan keupayaan modal insan yang menggerakkannya.

“Justeru, pembangunan kompetensi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik bagi memastikan penjawat awam sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran perkhidmatan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, UMS sentiasa komited memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam pembangunan ilmu dan kepimpinan bakat bagi menyumbang kepada pembangunan modal insan, khususnya dalam sektor awam.

RELATED ARTICLES
Utama

Masyarakat diseru utamakan pemeriksaan kesihatan berkala

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular