HomePolitik40 cawangan baharu Gagasan Rakyat dibuka di Monsolurung, Tambunan

40 cawangan baharu Gagasan Rakyat dibuka di Monsolurung, Tambunan

Read Time:1 Minute, 36 Second

TAMBUNAN: Pembukaan 40 cawangan baharu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Mukim Monsolurung mencerminkan perkembangan jentera parti yang semakin tersusun dan kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Majlis perasmian pembukaan cawangan itu disempurnakan Penyelaras Gagasan Rakyat DUN Tambunan, Datuk Victor Peter Paut di Gerai Simpang Bogian, pada Isnin.

Victor berkata, pembukaan 40 cawangan dalam satu mukim bukan sekadar pencapaian dari segi jumlah, sebaliknya membawa tanggungjawab besar kepada kepimpinan parti di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua ketua cawangan supaya memastikan setiap cawangan berfungsi secara aktif, tersusun dan mempunyai kepimpinan yang jelas, selain melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, usaha menubuhkan cawangan memerlukan komitmen, manakala memastikan kelangsungan dan keberkesanannya memerlukan kepimpinan, integriti serta tanggungjawab berterusan.

Beliau turut menegaskan jawatan ketua cawangan merupakan satu amanah dan bukannya keistimewaan yang perlu dibanggakan.

“Setiap ketua cawangan mesti menjaga hubungan dengan ahli, memastikan komunikasi dengan Penyelaras DUN berjalan baik, menyampaikan maklumat secara teratur dan tidak membiarkan ahli berasa tersisih selepas didaftarkan,” katanya.

Menurutnya, pemimpin di peringkat cawangan perlu mendapatkan kepercayaan ahli melalui sikap bertanggungjawab, selain sentiasa turun padang untuk mendengar pandangan dan keperluan mereka.

Victor turut mengingatkan bahawa perpaduan dan disiplin perlu menjadi asas kekuatan organisasi, meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ahli.

“Gagasan Rakyat DUN Tambunan perlu mengamalkan budaya kerja yang matang, saling menghormati dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan hubungan sesama anggota parti,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah organisasi bukan diukur berdasarkan keupayaan seseorang pemimpin menonjolkan diri, sebaliknya melalui kesediaan seluruh pasukan memikul tanggungjawab secara bersama.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan parti tidak seharusnya terbatas kepada urusan organisasi, tetapi turut merangkumi usaha membawa perhatian terhadap keperluan masyarakat di Tambunan.

“Antara isu yang perlu terus diberi perhatian termasuk kemudahan infrastruktur kampung, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, komunikasi, pendidikan, peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi luar bandar.

“Majlis akan berakhir, tetapi tugas sebenar cawangan baru bermula. Peliharalah perpaduan, laksanakan tanggungjawab dengan integriti dan kekalkan semangat kerja berpasukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

12 warga China disyaki terbabit aktiviti ‘scam’ ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular