KOTA KINABALU: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu diperkukuh menerusi gagasan Muafakat Sabah bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mantan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, Muafakat Sabah yang dicadangkannya bukan sekadar kerjasama menghadapi pilihan raya, sebaliknya usaha membina persefahaman politik lebih kukuh demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Beliau berkata, pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum ini membuktikan potensi kerjasama antara kedua-dua gabungan apabila jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.
“Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka yang lebih besar. Saya membawa idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri.
“Pengalaman PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag lalu menjadi contoh jelas apabila jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam kedua-dua pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, kestabilan politik penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar, selain membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.
Menurutnya, gagasan Muafakat Sabah juga berpotensi menjadi asas kepada hubungan lebih erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pembangunan, menangani isu kemudahan asas serta memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Muafakat Sabah yang saya ketengahkan bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang kukuh dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kemenangan pilihan raya hanya permulaan. Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat sebenar Muafakat Sabah,” katanya.



