HomeUtamaMITI tidak pertimbang lesen baharu jika industri terus bergantung pekerja asing

MITI tidak pertimbang lesen baharu jika industri terus bergantung pekerja asing

Read Time:1 Minute, 50 Second

KERAJAAN tidak akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu bagi perniagaan yang menjalankan aktiviti sama atau seumpamanya dengan syarikat sedia ada sekiranya operasi berkenaan berpotensi meningkatkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu antara usaha mengawal jumlah pekerja asing di negara ini, selain memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada tenaga kerja tempatan, khususnya lebih 400,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing, namun jumlah berkenaan masih belum menunjukkan penurunan seperti yang disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurutnya, keadaan itu antara lain disebabkan kebergantungan syarikat yang sudah beroperasi selama 10 hingga 20 tahun di negara ini terhadap tenaga kerja asing.

“Kalau kita sudah mula menukar kuota 20 peratus kepada pekerja asing dan 80 peratus kepada pekerja tempatan, tetapi sekarang ini terbalik, 80 peratus industri memerlukan pekerja asing, manakala 20 peratus sahaja pekerja tempatan.

“Jadi, kita analisa perkara ini. Sekarang negara sudah mempunyai 2.6 juta pekerja asing,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, keadaan itu perlu diperbetulkan bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor industri dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan, terutama graduan TVET yang memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan pasaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, amalan sesetengah majikan menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing menyebabkan pekerjaan berkenaan kurang menarik kepada tenaga kerja tempatan.

Menurutnya, meskipun kerajaan sudah menetapkan gaji minimum RM1,700, masih terdapat majikan yang tidak menawarkan kadar upah lebih baik kepada pekerja tempatan berkemahiran.

Malah, katanya, terdapat graduan TVET yang ditempatkan di kawasan penempatan pekerja asing, namun perlu menanggung kos sewa sendiri sekiranya memilih untuk tinggal di luar kawasan berkenaan.

“Jadi, banyak isu ini sebenarnya berlegar daripada dasar dan polisi kita yang terlalu fleksibel,” katanya.

Sehubungan itu, Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penjelasan kepada pihak industri berhubung dasar pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, pengambilan pekerja asing masih dibenarkan, namun perlu dihadkan kepada sektor pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor (3D).

“Kalau nak pakai pekerja asing boleh, tetapi dengan syarat hanya untuk pekerjaan 3D. Yang lain ini kena bayar (gaji yang bersesuaian),” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Peruntukan besar bukti komitmen kerajaan perkasa pendidikan, modal insan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular