LABUAN: Status bebas cukai Labuan dilihat semakin kehilangan daya tarikan apabila pelbagai sekatan terhadap barangan yang menjadi tarikan utama pengunjung menyebabkan kelebihan pulau itu semakin terhakis.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, status bebas cukai Labuan tidak lagi memberi kelebihan ketara kepada pengunjung, khususnya apabila harga barangan runcit didapati hampir sama atau lebih mahal berbanding di tanah besar Sabah.
“Apa maknanya bebas cukai kalau barangan yang menjadi tarikan utama Labuan sudah disekat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, pemimpin Persekutuan perlu memberi perhatian kepada pemulihan dasar percukaian dan merancakkan sektor peruncitan serta pelancongan Labuan, berbanding terus mengulang cadangan pembinaan jambatan yang belum menjadi kenyataan sejak sekian lama.
Katanya, cadangan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah sudah berlarutan merentasi satu generasi dan sering dibangkitkan menjelang pilihan raya, selain kekangan bajet negara menyukarkan pelaksanaannya dalam masa terdekat.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, Labuan wajar diberikan kemudahan cukai sewajarnya seperti Langkawi, bagi memperkukuh daya saing ekonomi serta menjadikan pulau itu kembali menarik kepada pengunjung.
Beliau yang berada di Labuan dalam lawatan kerja selama dua hari turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Tongod di Wisma Perbandaran Labuan, kelmarin.
Masiung menggesa Menteri Wilayah Persekutuan serta pegawai kementerian berkaitan turun ke Labuan bagi menilai semula dasar percukaian yang menurutnya turut menyumbang kepada kelembapan ekonomi wilayah itu.
“ Saya melihat minuman keras, coklat dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai, itupun harga hampir sama di tanah besar Sabah.
“ Sementara barangan runcit lain jauh lebih mahal berbanding di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, Labuan berisiko terus ketinggalan dalam pembangunan ekonomi sekiranya kerajaan Persekutuan tidak mengembalikan sepenuhnya kelebihan status bebas cukai yang pernah menjadi antara tarikan utama pulau berkenaan.
Menurutnya, meskipun Labuan dikenali sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC), keadaan ekonomi pulau itu kini seolah-olah sebuah “kota tua” yang ditinggalkan.
Katanya, kos pengangkutan menjadi antara faktor utama harga bahan mentah dan barangan runcit meningkat, memandangkan hampir semua bekalan dibawa dari tanah besar Sabah melalui jalan darat sebelum menyeberangi laut menggunakan feri dari Menumbok.
Beliau turut membangkitkan dasar kabotaj yang mengehadkan kapal asing dan kapal dari Semenanjung Malaysia daripada singgah di Labuan, menyebabkan penghantaran bekalan terus ke Sabah dan menambah cabaran logistik kepada wilayah itu.



