KOTA KINABALU: Kasih sayang dan pengorbanan seorang kakak yang setia berada di sisi adiknya sepanjang empat tahun pengajian di universiti menjadi kekuatan buat Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 25, sehingga berjaya menggenggam ijazah meskipun berdepan kekangan penglihatan sejak bayi.
Muhammad Iman berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) seterusnya menerima skrol ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-28 di Dewan Canselor di sini pada Ahad.
Kakaknya, Saidatul Afiqah,29,bukan sekadar menghantar adiknya ke kelas, malah turut menemaninya di dalam bilik kuliah bagi membantu memudahkan urusan pembelajaran sepanjang tempoh pengajian.
Bagi Saidatul Afiqah, tanggungjawab itu turut melibatkan usaha mendapatkan bahan pembelajaran yang bersesuaian, terutama apabila nota dalam format Braille sukar diperoleh.
Katanya, beliau akan memaklumkan kepada semua pensyarah pada awal setiap semester mengenai kehadirannya bersama Iman sepanjang sesi kuliah.
“Memang saya yang hantar dia pergi kelas dan temankan dia dalam bilik kuliah. Sebelum mana-mana kuliah bermula, saya akan maklumkan kepada semua pensyarah bahawa saya akan bersama Iman dalam kelas,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.
Menurutnya, apabila bahan pembelajaran tidak tersedia dalam format Braille, beliau akan membantu mencari maklumat sebelum memindahkannya supaya boleh diakses oleh adiknya menggunakan komputer riba.
Malah, usaha membantu pembelajaran Iman sudah bermula sejak adiknya berada di Tingkatan Lima, terutama ketika pandemik COVID-19 apabila beliau banyak membantu mendapatkan maklumat bagi memastikan Iman dapat mengikuti pembelajaran.
Sepanjang pengajian di universiti, mereka turut berdepan cabaran apabila mesin e-Braille yang digunakan Iman untuk membaca nota terjatuh daripada kerusi kuliah.
Kejadian itu menyebabkan Iman tidak dapat menaip selama kira-kira sebulan dan Saidatul Afiqah terpaksa membantu mendapatkan nota pembelajaran bagi pihak adiknya.
Mengimbas keadaan Iman, Saidatul Afiqah berkata, adiknya mengalami masalah penglihatan selepas mengalami demam panas ketika berusia tujuh bulan.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Iman daripada meneruskan pendidikan dan berusaha membina masa depan melalui bidang akademik.
Iman, anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Tenom, berkata antara cabaran utama sepanjang pengajian ialah memahami ilmu yang disampaikan pensyarah serta mendapatkan bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluannya.
Katanya, beliau menggunakan komputer riba untuk memuat turun artikel, mendengar rakaman dan membuat ulang kaji bagi membantu memahami kandungan pembelajaran serta menyiapkan tugasan.
Beliau turut menerima Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu membiayai pengajian.
Bagi Iman, kejayaan memperoleh ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa itu memberikan perasaan cukup terharu dan gembira selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Beliau juga berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan kurang upaya supaya terus mempunyai azam dan berusaha melanjutkan pelajaran tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.
Selepas menamatkan pengajian, Iman berhasrat mendalami ilmu agama, khususnya pengajian al-Quran, tilawah dan tarannum, selain tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian pada masa akan datang. –SABAH MEDIA



