KOTA KINABALU : Sabah FC mula menunjukkan peningkatan selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan pra musim Liga Super 2022.
Pengendalinya Datuk Ong Kim Swee berkata, meskipun terdapat peningkatan namun beliau mengakui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya di bahagian serangan.
“Kita nampak banyak kelemahan daripada perlawanan yang diadakan, namun apabila kita perbaiki dan dari satu perlawanan ke satu perlawanan saya lihat ia ada sedikit peningkatan, itu yang penting.
“Kita berharap dua penyerang import yang baru sampai iaitu Altemir Cordeiro Pessoa Neto, 27, dari Brazil dan Taiki Kagayama, 25, dari Jepun yang hanya boleh beraksi pada perlawanan akan datang akan dapat menyelesaikan masalah ini terutama dari segi penyudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan persahabatan pra-musim menentang pasukan B-23 Kebangsaan di Stadium Likas baru-baru ini.
Pada perlawanan itu, Sabah FC berjaya mengikat keputusan seri 1-1.
Sementara itu, Kim Swee berharap empat pemain Sabah FC yang disenaraikan untuk bermain dalam skuad B-23 Kebangsaan dapat mengambil pengalaman yang cukup bagi memperbaiki diri sebagai pemain bola sepak.
Katanya, peluang bermain di peringkat antarabangsa juga akan dapat memberi pendedahan yang lebih baik khususnya dari segi keyakinan ketika bermain.
“Sama ada mereka mendapat tempat ke Kemboja atau tidak, saya percaya mereka sudah mendapat pendedahan dan pengalaman yang cukup berguna.
“Ini juga akan dapat memberi pengalaman dan pendedahan bermain di peringkat antarabangsa, apabila mereka balik secara langsung tahap keyakinan mereka juga akan meningkat,” katanya.