Pusat Informasi Pelancongan Kampung Tajau Laut Bakal Dibina

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KUDAT : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memperuntukkan dana sejumlah RM109,240 bagi membina Pusat Informasi Pelancongan di Kampung Tajau Laut disini.

Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, ia antara usaha berterusan kementerian untuk menyalurkan maklumat berkenaan destinasi menarik di sekitar daerah itu seperti pantai, pulau, tempat bersejarah dan budaya tradisi masyarakat terutama etnik Rungus.

“Kewujudan pusat ini akan memudahkan pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan informasi terperinci mengenai sesuatu kawasan pelancongan sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong ke daerah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah itu baru-baru ini.

Lawatan bermula di Kampung Tajau Laut, Rumah Panjang Rungus, dan berakhir di Sumangkap Gong Factory.

Jafry berkata, hasil tinjauan, produk dan aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti berkembang dengan baik.

Katanya, walau bagaimanapun ada beberapa kemudahan infrastruktur yang perlu dinaiktaraf untuk memberikan keselesaan khususnya kepada para pelancong.

“Oleh itu, Kementerian menerusi Lembaga Pelancongan Sabah juga telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan, serta komuniti kampung untuk membantu dalam mengenalpasti bantuan yang diperlukan untuk membangunkan produk pelancongan yang ada di kawasan itu.

“KePKAS juga sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan bagi membangunkan industri pelancongan yang berpotensi sekaligus membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Untuk rekod, sehingga kini peruntukan yang disalurkan untuk perkasa kawasan pelancongan di Kudat membabitkan lebih RM1.6 juta.

Antaranya termasuk pembinaan Esplanade Sidek yang membabitkan kos RM 1 juta yang dijangka siap sepenuhnya bulan Jun tahun ini.

Manakala pembinaan Menara Tinjau Puncak Residen yang telah mendapat peruntukan dibawah kerajaan negeri melibatkan kos sebanyak RM638,078 telah siap tahun lepas.

Mengulas lanjut, katanya, kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan infrastruktur kemudahan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan standard dan kualiti perkhidmatan serta produk pelancongan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *