KOTA KINABALU: Sebuah Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) bernilai RM1 bilion akan dibina di kawasan seluas 25 ekar di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha merealisasikan SMJREIC dilaksanakan oleh Suria Capital Holdings Berhad dengan kerjasama Vandelay Ventures Sdn Bhd, yang akan memberi manfaat kepada Sabah.
Sehubungan itu, Hajiji menyaksikan majlis menandatangani satu
Memorandum Persefahaman antara Suria Capital Holding Berhad sebagai pemilik tanah dan Vandelay Ventures Sdn Bhd serta rakan kongsi termasuk Sawit Kinabalu dan SLDB sebagai pembekal bahan mentah, SULZER GTC Technology sebagai penyedia teknologi dan THINKAT Advisory Sdn Bhd sebagai rakan kongsi kewangan, di Pusat Perdagangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
“Saya gembira Suria Capital Holdings Bhd telah menambah satu lagi portfolio pelaburan berpotensi dalam senarai usaha niaga di pacu pihak swasta yang berjaya di negeri ini. Saya berharap untuk melihat hasil MoU ini dalam masa terdekat,” katanya.
Usaha itu akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan, dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah, katanya sempena majlis pelancaran SMJREIC dan menandatangani MoU.
“Sebagai Ketua Menteri Sabah, saya gembira kerjasama ini melibatkan Suria Capital Holding Berhad, yang merupakan antara syarikat awam berhad yang mempunyai reputasi tinggi di negeri ini, yang mana mereka akan memainkan peranan besar dalam membantu memastikan projek berdaya maju ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan peranan sektor swasta dalam memacu ekonomi. Kita boleh lihat, sebagai contoh, kekukuhan sektor hartanah; lonjakan semula industri minyak dan gas; dan penanaman semula pokok dalam sektor perhutanan.
“Inistiatif memberi laluan lebih besar yang didorong oleh swasta akan meningkatkan momentum ekonomi dalam industri ini; merangsang aliran pelaburan; meningkatkan kepelbagaian ekonomi keseluruhan; meningkatkan peluang ekonomi yang lebih luas dan mewujudkan limpahan berkaitan,” ujarnya.
Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selama lima tahun yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri GRS pada Mac 2020, kelestarian hijau menjadi agenda penting Kerajaan Negeri kerana ia bukan sahaja melibatkan isu alam sekitar dan fenomena pemanasan global, tetapi juga aset untuk pembangunan ekonomi serta hasil negeri.
“Dalam bulan-bulan berikutnya, kami telah menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan. Bulan lepas sahaja, kami telah menandatangani perjanjian untuk pelaburan baharu – termasuk pembuatan kaca solar yang inovatif dan ladang herba berskala besar yang dijangka akan menjana pulangan yang baik dalam pelaburan, dan mewujudkan peluang pekerjaan,” jelasnya.
“Saya juga gembira kerana setakat Jun tahun lalu, Sabah memperoleh pelaburan asing bernilai RM4.4 bilion, yang ketiga terbesar di negara ini.
“Saya juga telah mengingatkan, bahawa kita terus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan alternatif yang menarik mesra pelabur, kita berada di landasan untuk melihat transformasi besar-besaran dalam perjalanan Hala Tuju SMJ,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah dikurniakan banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi menawarkan prospek kukuh untuk menyumbang secara signifikan dan tranformasi kepada kedua-dua negeri dan negara untuk menjadi ekonomi nilai tambah tinggi.
“Kerajaan negeri secara agresif mendorong agendanya dalam menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan tenaga bersih dengan melaksanakan program yang akan membantu menggalakkan aktiviti ekonomi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta akhirnya akan membentuk dan mengukuhkan sektor tenaga baharu dan industri hijau Sabah.
“Selain memberi peluang untuk menggunakan tenaga secara cekap sambil mewujudkan persekitaran yang lebih baik melalui penggunaan sistem tenaga bersepadu dan fleksibel yang meningkatkan nisbah penjimatan tenaga, teknologi hijau juga menawarkan faedah alam sekitar yang lain termasuk peningkatan perlindungan kepada ekosistem dan biodiversiti, peningkatan kualiti udara dan air, dan pengurangan sisa pepejal,” katanya.
Dalam pada itu, kata Hajiji lagi, kerajaan dan sektor swasta perlu mengambil langkah penting yang memberi tumpuan kepada faedah teknologi hijau berikutan penekanan global semasa terhadap perubahan iklim dan kehidupan mampan.
Apabila siap, SMJREIC akan menempatkan “Edible Oil Bulking Terminal” dengan kapasiti 30,000 tan metrik dan komplek Penapisan Minyak Sawit pertama dengan kapasiti 100,000 tan metrik setahun serta loji Minyak Sayuran Berhidrogen (HVO), yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 250,000 tan metrik setahun menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Kompleks dan kemudahan serta industri sampingannya dianggarkan menjana kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Sabah.