KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah disarankan supaya mengikut jejak langkah Kerajaan Sarawak yang meluluskan pertukaran terma Ketua Menteri kepada Premier
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah itu sekaligus meletakkan bukan lagi setakat ‘equal partners’ dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Katanya, secara jelas ini menunjukkan yang status negeri Sarawak menuju ke arah autonomi yang lebih nyata.
“Hasil daripada tindakan Kerajaan Negeri Sarawak, BERSATU Sabah menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sabah dapat mengikuti tindakan yang telah di laksanakan.
“Tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin-pemimpin utama negeri kita seperti Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen sewaktu penubuhan Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Khairul Firdaus berkata, kesepakatan pemimpin-pemimpin Sabah harus di tonjolkan dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak rakyat Sabah.
Katanya, kesepakatan yang kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar yang cuba untuk mengugat kestabilan politik negeri ini.
“Kemunduran yang berlaku di Negeri Sabah disebabkan permainan politik yang terlampau dari sejak kita mencapai kemerdekaan, harus dihentikan dan fokus utama adalah untuk memajukan Negeri Sabah dan rakyatnya.
“Dengan meletakkan negeri Sabah sebagai status yang berlainan dengan negeri-negeri yang lain, pastinya generasi baru akan lebih memahami apakah pembentukan negara Malaysia sebenarnya,” katanya.
Katanya, Sabah dan Sarawak adalah tunjang utama pembentukan Negara Malaysia dan pastinya dalam masa-masa yang mendatang mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara Malaysia.