COVID-19: Kluster Institusi Pendidikan Terus Bertambah Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Dua lagi kluster baharu melibatkan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah masing-masing di Kota Marudu dan Ranau pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster itu adalah Kluster Jalan Bandau, Kota Marudu dan Kluster Jalan Sokid Ranau.

“Kluster Jalan Bandau di daerah Kota Marudu melibatkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 1.

“Kes indeks merupakan seorang pelajar lelaki, warganegara, berumur 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Februari lalu dan saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 95 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 96 kes positif yang direkodkan sehingga hari ini.

Katanya, semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya manakala kontak rapat yang tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.

Sementara itu, Masidi berkata, Kluster Jalan Sokid Ranau turut melibatkan institusi pendidikan yang dilaporkan di SMK Bundu Tuhan.

Katanya, kes indeks merupakan seorang lelaki berumur 24 tahun, warganegara dan merupakan seorang pekerja kontrak pembersihan di SMK Bundu Tuhan yang dikesan melalui saringan bergejala pada 4 Februari lalu.

“Saringan dikalangan kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 27 kes.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kluster ini ialah 28 kes positif setakat 16 Februari. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *