KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berharap semua pemain akan pulih sepenuhnya menjelang perlawanan pertama Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas pada 4 Mac ini.
Katanya, pada ketika ini terdapat dua hingga tiga pemain masih mengalami kecederaan dan perlu mendapatkan rawatan bagi memastikan setiap pemain cergas.
“Pada ketika ini semua berjalan seperti mana yang kita telah rancangkan namun kita ada dua, tiga pemain lagi yang masih mengalami kecederaan.
“Saya harap semuanya akan pulih sepenuhnya dan tiada lagi kecederaan apabila kita masuk ke fasa terakhir terutama pada minggu depan.
“Ini penting kerana kita akan melalui tiga perlawanan iaitu dua Liga Super dan satu Piala FA, jadi saya harap semua akan berada dalam satu situasi yang cukup cergas untuk diturunkan,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee tidak memandang rendah terhadap lawan mereka pada saingan Piala FA bertemu Respect FC pada 12 Mac depan meskipun kelab itu hadir dari Liga M3.
Ini kerana berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang telah dihadapi Sabah sebelum ini menunjukkan prestasi ditampilkan anak buah beliau kurang memuaskan dan enggan pemain boleh ambil mudah aksi di pusingan pertama Piala FA ini.
“Kita tidak boleh nak ambil mudah dalam setiap perlawanan sebab sebelum ini dalam perlawanan persahabatan pun, kita tidak menunjukkan prestasi yang begitu baik.
“Jadi, berdepan kelab dari Liga M3 pun adalah sukar dan kita kena bersiap sedia untuk cuba mengharungi pusingan pertama dengan baik.
“Pasal sasaran, saya ingin Sabah layak sejauh yang kita mampu dan paling penting adalah kita perlu kekalkan prestasi yang cemerlang tidak kira di saingan liga dan juga Piala FA”, katanya ketika memetik malaysianfootballleague.com.