KOTA KINABALU : Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (IPT-UMS) sehingga semalam berjaya melaksanakan pemberian sebanyak 3,000 suntikan vaksin COVID-19.
Pengarah Hospital UMS Profesor Dr Helen Lasimbang berkata, dari jumlah itu sebanyak 2,600 suntikan telah diberikan melibatkan vaksin dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun keatas sejak mula dilaksanakan pada 11 Januari lalu.
Katanya, PPV IPT-UMS turut melaksanakan pemberian suntikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang dimulakan pada 23 Februari lalu.
“Bagi PICKids, kita telah melaksanakan pemberian sebanyak 400 suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang layak.
“Jumlah ini melibatkan pemberian vaksin COVID-19 yang dilaksanakan di PPV IPT-UMS dan juga program jangkauan luar (outreach) yang diadakan di beberapa kawasan termasuk lapan buah sekolah sekitar Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui Sabah Media disini semalam.
Dr Helen berkata, PPV-IPT UMS beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4 petang bagi tujuan pemberian dos penggalak dan juga PICKids.
Katanya, pengambilan dos penggalak dan juga pemberian vaksin kepada kanak-kanak adalah sangat penting untuk melindungi masyarakat dari kesan penyakit COVID-19 terutama dengan varian Omicron yang semakin menular dalam kalangan komuniti.
“Kita mensasarkan sebanyak 100 dos suntikan vaksin dos penggalak akan diberikan kepada orang awam berusia 18 tahun ke atas dan jika boleh kami mahu bagi seramai yang boleh,” katanya.
UMS mengaktifkan semula operasi PPV IPT-UMS bagi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 sejak 11 Januari lalu sebagai usaha menangani ancaman varian Omicron serta peningkatan kes yang direkodkan di Sabah.