KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong sepenuhnya Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bertepatan dengan pendekatan pemulihan kerajaan negeri yang dilaksanakan di Sabah dan diyakini akan dapat membantu Sabah dalam memulihkan kesan pandemik COVID19.
“Kerajaan Sabah akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan pelan pemulihan yang merangkumi empat fasa itu berjaya dilaksanakan.
“Pelan Pemulihan Negara memang sangat tepat kerana ia sudah pasti dapat banyak membantu dalam pelaksanaan pendekatan pemulihan kerajaan negeri di Sabah,” katanya dalam kenyataan ringkas, di sini, malam ini.
Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri turut menyokong langkah untuk memanjangkan proklamasi darurat selama enam bulan lagi.
Katanya, perkara itu mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19 di Sabah disebabkan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang perlu diadakan jika darurat ditamatkan nanti.