HomeUtamaDUN Sabah : Kembalikan Labuan Kepada Sabah

DUN Sabah : Kembalikan Labuan Kepada Sabah

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Sabah dicadang memulakan rundingan dengan Kerajaan Pusat untuk mengambil semula Pulau Labuan bagi mengembalikan persempadanan asal negeri ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Cadangan itu dibahas bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata, pengembalian Labuan kepada Sabah perlu selepas penyerahan pulau itu pada 1984 sebagai Wilayah Persekutuan kedua selepas Kuala Lumpur, gagal mencapai matlamat digariskan melalui persetujuan kerajaan Sabah ketika itu.

“Ada lima matlamat penyerahan Labuan kepada Persekutuan iaitu untuk integrasi, keselamatan, mempercepatkan pembangunan, sebagai pusat persidangan antarabangsa dan pusat perniagaan…semua gagal.

“Kalau jambatan Labuan-Sabah nanti menjadi kenyataan, kita juga perlu melalui pos Imigresen untuk melalui jambatan itu ke Labuan, jadi ada baiknya Labuan dikembalikan kepada Sabah supaya jadi macam dulu,” katanya.

Beliau berkata, penyerahan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan kira-kira 38 tahun lalu berlaku selepas DUN Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan negeri pada 8 Mac 1984.

Katanya, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh adalah individu yang bertanggungjawab merealisasikan penyerahan Labuan melalui siri perbincangan dengan Kerajaan Pusat pada masa itu.

“Tan Sri Harris dulu adalah orang yang mahu Labuan diserahkan kepada Persekutuan tetapi sekarang dia juga mahu Labuan dikembalikan kepada Sabah.

“Saya tahu Kerajaan Persekutuan tidak terus bersetuju kalau kita tuntut Labuan dikembalikan kepada Sabah sekarang, tetapi kita boleh buka jalan. Tuntutan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga selepas 12 tahun barulah diberi perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, Teck Lee meminta supaya cadangan berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri yang ada sekarang, supaya boleh dijadikan legasi kepada generasi Sabah akan datang.

Beliau turut menyuarakan cadangan supaya kerajaan negeri menggubal enakmen Kad Pengenalan Sabah atau ‘Sabah IC’ untuk membenarkan penggunaan dokumen pengenalan khas rakyat yang lahir atau berasal dari Sabah.

Katanya, dokumen itu bagi membezakan pemegang Mykad dari negeri lain yang dikeluarkan Kerajaan Pusat ketika ini, selain memberi kelebihan kepada pemegangnya untuk menikmati semua keistimewaan sebagai rakyat Sabah.

“Kita sudah kaji ini dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya. – BERITA HARIAN

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular