KOTA KINABALU : Penyaluran bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) kepada 204 pemandu teksi dan kereta sewa di Sabah tidak dapat dilaksanakan kerana maklumat yang diberikan oleh mereka tidak tepat.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata, pihaknya telah memproses penyaluran bayaran bantuan GKP sebanyak RM 1,000 ke 1,910 akaun pemohon yang layak.
“Walaubagaimanapun terdapat 204 akaun yang tidak dapat dikreditkan pihak bank disebabkan butiran yang dikemukakan oleh mereka tidak tepat.
“Selain itu, transaksi juga tidak dapat dilaksanakan kerana nombor akaun tidak dijumpai, nombor akaun telah ditutup, nama bank pemilik akaun dan nombor Mykad yang diberikan tidak sama dengan nombor Mykad pemilik akaun bank,”katanya.
Chin berkata, pemandu teksi dan kereta sewa yang layak namun masih belum menerima bantuan tersebut boleh menyemak e-mel mereka atau senarai nama yang dilampirkan di laman Facebook rasmi LPKP Sabah
Katanya,mereka yang tersenarai dimohon untuk mengemukakan semula maklumat dan melampirkan dokumen sokongan bagi tujuan pelaksanaan pembayaran bantuan ke e-mel [email protected].
“Dokumen berkenaan adalah seperti lampiran Mykad, lampiran penyata bank yang menunjukkan nama bank, pemilik akaun dan nombor akaun yang jelas.
“Pemohon-pemohon dianggap tidak berminat untuk menerima bantuan ini sekiranya LPKP Sabah tidak menerima sebarang maklum balas pada 22 Jun 2021 (Selasa) jam 10.00 pagi dan sebarang rayuan selepas itu tidak akan diterima,”katanya.