HomeIsu tempatanRENCANA : Simulasi menyelamat antara pengisian kursus pengurusan bencana

RENCANA : Simulasi menyelamat antara pengisian kursus pengurusan bencana

Read Time:4 Minute, 25 Second

SEMPORNA : Mayat mangsa tragedi bot ‘terbakar’ dijumpai di dasar laut di perairan berhampiran Kampung Simunul kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Jenazah ‘mangsa’ merupakan pemandu bot pelancong, 52, berasal dari Kampung Bugaya dan dikejarkan ke Hospital Semporna.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, sebuah bot pelancong dengan enam penumpang menuju ke Pulau Mataking, dilaporkan tiba-tiba terbakar selepas 10 minit bertolak dari Jeti Awam Semporna sekaligus menyebabkan lima mangsa cedera ringan, manakala seorang lagi mengalami trauma.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 8.22 pagi daripada orang awam, kemudiannya mengarahkan Inspektor Ketenteraman Awam (IKA) untuk membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Ketua Polis Balai (KPB) Semporna untuk tindakan lanjut.

Mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan, pihaknya menggerakkan 88 anggota dengan enam aset bot penyelamat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) dalam radius 800 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa pertama berjaya diselamatkan pada pukul 9.12 pagi, diikuti mangsa kedua, ketiga dan keempat masing-masing pada jam 9.15 pagi, 9.19 pagi dan 9.25 pagi.

“Mangsa kelima yang tidak cedera diselamatkan pada pukul 9.39 pagi bagaimanapun mengalami trauma, disusuli mangsa keenam pada jam 9.40 pagi.

“Semua mangsa ini merupakan pekerja di salah sebuah pusat peranginan dan dikejarkan ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans.

“Hanya selepas empat jam SAR, Unit Penyelam PGM akhirnya berjaya menemukan mangsa ketujuh yang juga pemandu bot pada jam 12.15 tengah hari dan punca kematian dipercayai akibat lemas,” katanya.

Mohd Farhan mengulas demikian mengenai latih amal SAR kebakaran bot yang disimulasikan dalam Kursus Pengurusan Bencana anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan di sini, baru-baru ini.

Peranan Jabatan Penerangan Malaysia Semasa Bencana

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK) JAPEN, Suziyana Sukri, Jabatan Penerangan Malaysia melalui Majlis Keselamatan negara (MKN) Arahan No.20 Pengendalian Pusat Media Bencana berperanan mengendali dan menyediakan pusat media di tempat kejadian yang diletakkan di dalam Zon Hijau.

“Pusat media ini dilengkapi ruang sidang media dan kemudahan untuk para petugas media mendapatkan informasi-informasi terkini dari sumber yang sahih.

“JAPEN juga bertanggungjawab menyelaras pergerakan media dan memastikan wakil-wakil media massa berada di dalam zon hijau sahaja dan tidak dibenarkan masuk ke Zon Kuning atau Merah kecuali dengan kebenaran Komander Operasi Bencana,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Suziyana, JAPEN juga berperanan mengeluarkan fakta-fakta penting secara berterusan kepada wakil-wakil media bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai serta menangkis maklumat dan berita-berita palsu yang tersebar semasa kejadian bencana, di samping menyelaras sesi sidang media.

Simulasi Asas Pengetahuan Urus Bencana 

Peserta kursus, Bustan Made Aming, 43, menyatakan kursus pengurusan bencana tersebut mendedahkan beliau tentang asas pengetahuan mengenai peranan media dalam situasi bencana.

“Kursus sebegini mendedahkan peserta kepada pengetahuan mengenai peranan media kepada masyarakat dalam memberikan maklumat yang tepat berkenaan sesuatu bencana yang berlaku.

“Para peserta juga dapat belajar cara pengurusan pusat media yang betul seperti lokasi yang tepat untuk pembukaan sebuah pusat media.

“Selain itu, kita dapat mengetahui pengkelasan zon warna dan kebenaran masuk untuk bagi setiap zon bencana tersebut,” ujar Bustan. 

Impak Kepada Program Orang Awam

Program latih amal tersebut adalah antara kandungan penting dalam MKN 20 Perkara 12 untuk dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi bencana.

Bagi peniaga, Siti Rohaidah Rohan, 32, simulasi itu memberi pengalaman kepada orang awam bagaimana operasi menyelamat dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Simulasi seperti ini mampu memberi gambaran awal kepada orang awam mengenai perkara yang perlu dilakukan sekiranya bencana berlaku.

“Pendedahan ini dapat mengawal situasi semasa bencana daripada timbul kekecohan di kalangan orang awam kerana kurangnya pengetahuan cara mengurus bencana,” kata beliau.

Focal Agency

Sementara itu, Penolong Pengarah MKN Sabah, Aidalina Mahili MKN berperanan sebagai focal agency dalam memastikan agar Arahan MKN No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat diaktifkan dan dipatuhi semasa kejadian bencana.

“Sebaiknya, latih amal ini dapat dilaksanakan secara berkala agar pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana selari dengan apa yang telah digariskan dengan Arahan MKN 20.

“Simulasi juga dapat memberikan gambaran yang hampir serupa sekiranya sesuatu tempat itu mengalami bencana dan padanan keperluan aset serta sumber manusia dapat disemak dari semasa ke semasa.

“Harapan saya, pada masa akan datang adalah dengan menekankan lagi aspek cabaran cabaran baharu dalam pengurusan semasa seperti komunikasi strategik seperti implikasi berita palsu dan cara mengatasinya serta adaptasi teknologi terkini dalam menganalisa dan meramal bencana.

“Perlu ditekankan juga, peranan komuniti dan kesedaran awam dalam menghadapi bencana selaras dengan pemerkasaan Community Based Security Management oleh MKN,” tambah beliau.

Kesimpulannya, latih amal tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak agar sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa juga bencana ibarat kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”./Penerangan-

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular