KOTA KINABALU: Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) dan Kelab Memanah Tradisional Pewaris Sipitang (SPAC) menjadi wakil Sabah menyertai Singora Ramadan Challenge yang disertai sekitar 50 buah kelab memanah tradisional seluruh negara secara serentak bermula 16 April dan berakhir semalam.
Perujian memanah tradisional telah dilaksanakan secara dalam talian terbabit dianjurkan oleh Kelab Memanah Singora (KEMMAS), Kelantan.
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kota Kinabalu (PMTKK), Md Suhaimi Sapiee berkata perujian untuk pasukan Kelab KESATRIA dilaksanakan bertempat di Lapangan Memanah Tradisional Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang manakala bagi Kelab SPAC, perujian telah dilaksanakan di Lapangan Memanah Tradisional SPAC di Sipitang.
Menurutnya, seramai 12 orang wakil rasmi dari KESATRIA manakala seramai 16 orang wakil rasmi dari SPAC yang menyertai perujian secara dalam talian itu dan semua peserta harus memanah dalam jarak sejauh 18 meter.
Mengulas lanjut, semasa perujian berlangsung, setiap pemanah dikehendaki memanah papan sasaran FITA 40cm menggunakan tiga batang anak panah pada jarak 18 meter dimana ia perlu diulang sebanyak 10 kali di dalam satu pusingan, dan menyelesaikan perujian ini dalam dua pusingan lengkap.
“Setiap pemanah tradisional dididik untuk jujur dan amanah di dalam setiap panahannya.
“Walaupun perujian ini secara atas talian, persiapan rapi perlu diaturkan. Ini termasuklah menggunakan papan sasaran mengikut spesifikasi ditetapkan penganjur, pematuhan pada syarat dan peraturan, ketetapan pada jarak yang betul serta ketinggian papan sasaran yang tepat.
“Selain adanya pengurus pasukan yang memastikan perjalanan perujian berjalan lancar serta bebas dari sebarang unsur penipuan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam perujian terbabit, dua orang wakil rasmi dari SPAC, Rohayati Tarip mendapat tempat kedua dan Norizah Timbang di tempat ketiga bagi kategori tradisional wanita.
Manakala bagi kategori tradisional lelaki, pencapaian terbaik di tempat ke-16 yang dimenangi oleh Muhammad Annash Shah Abdillah (SPAC) dan Hasri Asri (KESATRIA) di tempat ke 21.
Secara keseluruhan, seramai 154 orang pemanah tradisional seluruh negara telah menyertai perujian ini mengikut kategori iaitu kategori tradisional lelaki, tradisional wanita, tradisional cilik dan terbuka ‘barebow’.