KOTA KINABALU: Masyarakat digesa untuk terus memberi sokongan kepada pelaksanaan program pemulihan dalam komuniti.
Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan, Timbalan Komisioner Penjara Nora Musa berkata, pihaknya memerlukan sokongan pelbagai pihak sama ada ahli keluarga, masyarakat mahu majikan.
Katanya, ianya adalah untuk memberi peluang kedua kepada para penghuni tirai besi yang menjalani tempoh Perintah Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dan Pelepasan Penghuni Sekolah Henry Gurney.
“Kami berharap banduan-banduan ini dapat diterima bekerja agar mereka mendapat peluang kedua untuk membina kehidupan.
“Semasa dalam tahanan, semua penghuni penjara telah diberikan latihan dalam bidang kemahiran tertentu dan kami mensasarkan mereka sekurang-kurangnya mempunyai satu sijil kemahiran selepas keluar untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah, di pejabatnya disini kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan, Harun Maddasa dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media Siber, Geraldine Voo Yee Wen.
Nora berkata, masyarakat tidak perlu risau berkaitan aspek keselamatan kerana pegawai-pegawai penjara akan sentiasa menyelia dan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, mengenai kunjungan tersebut, Nora memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah dalam usaha untuk memperkasakan program pemulihan dalam kalangan komuniti.
“Kami mengharapkan kerjasama JAPEN Sabah untuk menjelaskan program pemulihan komuniti ini agar diterima positif oleh segenap masyarakat.
“Selain itu, dengan kerjasama ini kita dapat memperkenalkan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan di sini,” katanya.
Antara produk yang dijual terdiri daripada kuih-muih, kraftangan dan perkhidmatan menjahit, mencuci serta menggosok baju, perkhidmatan refleksologi dan sebagainya.