HomeUtamaAmbil kesempatan pupuk nilai kasih sayang, perpaduan di Aidilfitri

Ambil kesempatan pupuk nilai kasih sayang, perpaduan di Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Rakyat khususnya di negeri ini diseru mengambil kesempatan pada sambutan Aidilfitri untuk bersama-sama memupuk nilai kasih sayang dan perpaduan di antara satu sama lain selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat juga perlu bersama-sama bersatu untuk membangunkan negeri ini bagi mencapai gagasan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sambutan Aidilfitri bukan sahaja perayaan agama khususnya bagi masyarakat Islam tetapi juga kesempatan bagi semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama  di negeri ini untuk meraikan bersama.

“Sambutan pada tahun ini juga saya dapat melihat keceriaan setelah dua tahun masyarakat di negara ini tidak dapat meraikan dalam suasana yang lebih meriah ekoran penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini semalam.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, peralihan ke fasa endemik selain penurunan kes jangkitan membolehkan majlis sosial diadakan secara terbuka.

“Syukur pada tahun ini kiga ada sedikit kelonggaran untuk mengadakan majlis rumah terbuka dengan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Ini juga dapat memberi kita ruang untuk berkumpul beramah mesra dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim walaupun dalam skala kecil,” katanya.

Beliau turut berharap agar keadaan jangkitan khususnya di Sabah terus pulih dan membolehkan kerajaan Negeri memberi fokus sepenuhnya bagi membangunkan ekonomi negeri ini.

“Dalam masa dua tahun kita memberikan tumpuan untuk menjaga kebajikan rakyat yang terjejas kesihatan dan ekonomi mereka ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Justeru dengan penurunan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan lebih memberikan tumpuan untuk merangka dan melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk membangun ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Bung turut menghadiri Majlis Ramah Mesra sempana Aidilfitri anjuran Kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, serta ahli  jemaah kabinet negeri Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Mencipta Masa Depan Gemilang untuk Semua Dalam Belanjawan 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular