RANAU: Tarikh keramat ‘Hari Guru’ yang diadakan 16 Mei setiap tahun sebagai mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan warga pendidik dalam membina bangsa dan negara.
Selain mengadakan majlis sambutan kesyukuran di hampir seluruh pelusuk sekolah samada di bandar, pekan, di pulau mahu pun di daratan para pendidik punyai aktiviti bagi mengisi ruang dan peluang yang ada untuk membuat perancangan tersendiri.
Bagi guru-guru Matrikulasi Wilayah Persekutuan Labuan (WPL) memanfaatkan tarikh 16 Mei itu tahun ini bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ sebagai ruang dan peluang mengadakan program ‘Melawat Sambil Belajar’ ke lokasi menarik sekitar Kundasang dan daerah Ranau.
Serombongan tujuh orang guru dari Matrikulasi WPL itu, diketuai Mohd Nasir Abdul Wahab, telah melawat ke Taman Kolam Air Panas Poring dan ke Mount Kinabalu Sky Bike di Kg.Kigiok terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pekan Ranau.
“Program ini merupakan aktiviti yang julung kali kami adakan sebagai pengisian sambutan Hari Guru tahun ini”, jelas Mohd Nasir ketika ditemui selepas mengikuti Sky Bike sejauh 200 meter dengan ketinggian 150 meter dari aras tanah.
Selain Sky Bike mereka juga sempat berkunjung ke Taman Ternakan Payau di Kg.Kinapulidan terletak antara Bombon Kg.Marakau dengan Ranau Rabbit Farm (RRF) Kigiok berhampiran Kinabalu Sky Bike.