HomeUtamaDasar Agromakanan Negara 2.0 Sedang Dimuktamadkan

Dasar Agromakanan Negara 2.0 Sedang Dimuktamadkan

Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan sedang memuktamadkan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 dengan fokus utama untuk memastikan rantaian makanan negara  dapat mendepani cabaran sekuriti makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia akan mengambil kira input serta kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian,agensi, ahli akademik, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Adalah menjadi agenda utama kerajaan dalam memberi jaminan terhadap keselamatan bekalan makanan negara bagi memastikan bekalan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi juga mampu dimiliki, selamat dan berkualiti.

“Seiring dengan perkembangan teknologi baharu dalam era digitalisasi serta adaptasi kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IP4.0) peranan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan diberi penekanan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai Delegasi Malaysia secara maya Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) Kali ke-42 yang diadakan di Rome Itali pada 14 hingga 18 Jun lalu.

Delegasi Malaysia turut dianggotai oleh Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, sebagai wakil tetap Malaysia ke FAO.

Ronald berkata, persidangan FAO kali ke-42 itu juga membincangkan FAO Strategic Framework 2022-2031 yang dibangunkan melalui sesi konsultasi bersama negara-negara ahli serta rakan kerjasama FAO. 

Katanya, pemodenan sektor agromakanan akan turut dipacu melalui adaptasi mekanisasi dan teknologi dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Di peringkat serantau, delegasi Malaysia mengetengahkan keutamaan memacu transformasi inovasi dan digital dalam penggubalan dasar dan hala tuju sektor pertanian. 

“Malaysia turut menyarankan FAO untuk mengaplikasi dan memanfaatkan sumber-sumber berkaitan dalam menyokong pelaksanaan projek dan program di bawah Persidangann Serantau Untuk Asia dan Pasifik (APRC),”katanya.

Katanya, ia mampu memberi dimensi dalam memperkasakan lebih banyak negara-negara membangun melalui kerjasama dalam sektor pertanian dan makanan, terutamanya di dalam bidang teknologi dan inovasi, pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan.

Tambahnya, Malaysia menghargai usaha membangunkan kerangka strategik itu terutamanya melalui penekanan yang diberikan terhadap kelestarian, inklusiviti, sistem makanan yang mapan serta kepelbagaian tema melibatkan jantina, belia dan kumpulan etnik orang asal dalam mencapai agenda 2030. 

Persidangan yang melibatkan Sesi Plenari, Commission I dan Commission II itu telah disertai oleh delegasi dari 183 negara ahli melibatkan lebih dari 1,300 delegasi termasuk 119 menteri dan timbalan menteri negara-negara anggota.

RELATED ARTICLES
Utama

PPS hasrat perkasa wanita muda sebagai pelapis dalam pembuat keputusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular