HomeUtamaAhli sindiket edar dadah maut jatuh dari bangunan

Ahli sindiket edar dadah maut jatuh dari bangunan

Read Time:1 Minute, 31 Second

CYBERJAYA — Seorang ahli sindiket pengedaran dadah maut selepas bergaduh dengan ahli sindiket yang lain sebelum terjatuh dari aras dua sebuah apartment di Jalan Masai Jaya 2 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Johor , Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian tersebut dilaporkan orang awam selepas melihat mangsa yang berusia 23 tahun itu jatuh dari balkoni apartment itu pada jam 12.45 tengah malam.

Siasatan lanjut di tempat kejadian bersama unit forensik dari D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor mendapati terdapat kesan pergelutan.

Pemeriksaan ke atas badan mangsa didapati ada kecederaan dan pendarahan di bahagian belakang kepala. Kita percaya terdapat unsur jenayah yang menyebabkan mangsa jatuh di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Katanya, susulan itu pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam menangkap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Menurut beliau, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun ditahan di kawasan sekitar Desa Jaya, di sini.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu membabitkan mangsa.

Rentetan daripada tangkapan ini, polis kontinjen Johor telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam, ujarnya.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk tujuan bedah siasat.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau mendapati kesemua tangkapan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Kesemua tangkapan katanya, akan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Jun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.

Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan ini agar menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Nik Samsuriah Daud (013-7272120) atau mana-mana balai polis yang terdekat, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Semangat kekeluargaan lahirkan masyarakat harmoni, sejahtera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular